KUANTAN, 2 Sept – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata keputusan melantik ketua badan perhubungan kawasan bagi 14 Parlimen di Pahang sudah selesai.

Beliau berkata kini hanya menunggu watikah pelantikan ditandatangani Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 September ini.

“Semalam kami bermesyuarat di Kerdau dan pelantikan itu sudah selesai. Daripada 14 kawasan itu, 7 diketuai PAS, 6 diketuai BERSATU dan satu lagi kawasan diketuai Gerakan.

“Kita (PN Pahang) akan selesaikan pengagihan kerusi sebelum 15 September ini kerana pada 16 September, ada mesyuarat pimpinan tertinggi PN,” katanya pada sidang medianya hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata pembahagian kerusi di Pahang itu hanya membabitkan parti komponen dalam gabungan PN.

Beliau berkata namun pihaknya belum menutup pintu sepenuhnya untuk mengadakan perbincangan dengan pihak lain.

“Kerana yang penting pada kita ialah ada gabungan parti yang kuat, apa-apa pun keputusan tentulah akan dibuat majlis tertinggi PN.

“Macam PAS dengan UMNO di Pahang sebelum ini ada persefahaman dalam Muafakat Nasional (MN). Kita (BERSATU) kata teruskanlah, sebab di Pahang kita tidak bergaduh dengan mana-mana parti.

“Sebab itulah saya kata PN Pahang masih terbuka menerima kerjasama dgn mana-mana pihak,” katanya.