KUANTAN, 2 Sept – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berpandangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih sesuai diadakan tahun depan.

Beliau berkata, banyak faktor perlu diambil kira jika PRU15 tetap mahu diadakan tahun ini.

“Kalau tanya kami secara keseluruhannya, lebih sesuai kita jangka habiskan tempoh yang sedia ada, yakni sampai tahun depan.

“Ini dah hujung tahun dan kita bimbang banjir, selain itu kebanyakan orang yang berniaga, mereka baru mula (berniaga) selepas Covid-19, jadi kalau ada pilihan raya dalam suasana sekarang sedikit sebanyak mengganggu (perniagaan) mereka.

“(Dan) setakat yang saya tahu, teman-teman ahli Parlimen dan parti politik, majoritinya lebih cenderung supaya pilihan raya diadakan pada tahun depan,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin bagaimanapun berkata keputusan untuk membubarkan Parlimen dan menentukan tarikh PRU15 terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Namun, pada 29 Ogos lalu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam satu majlis di Kuantan, berkata PRU15 akan diadakan tahun ini memandangkan Ismail sudah memberi komitmen tidak akan melaksanakannya tahun depan.

Mohamad berkata, cuma perdana menteri tidak boleh memaklumkan bila tarikh pilihan raya akan diadakan.

“Pilihan raya umum sudah tidak lama, perdana menteri sudah bagi komitmennya, tapi dia tak boleh bagi tarikh… takkan dia hendak bagi tarikh sehingga dia terpaksa kata takkan saya hendak bawa tahun depan.

“Jadi, jelas sangatlah, jelas pilihan raya tahun ini. Kalau pilihan raya umum tahun ini takkan hendak buat bulan 12, nanti orang berenang pula pergi mengundi. Bulan 12 di Pahang bukan calang-calang banjir.

“Jadi, itu jangka masa yang kita perlu perhatikan betul-betul, gerak kerja kita, kita buat sebelum bulan 12,” katanya.