KUALA LUMPUR, 3 Sept – Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Muktamar PAS 2022 menjadi medan memperkuatkan PAS dan Perikatan Nasional (PN) dalam hadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata sebagai rakan dalam komponen PN, BERSATU menghormati setiap pandangan yang dikemukakan oleh saf kepimpinan PAS dan para perwakilan demi kebaikan bersama.

“Saya turut terharu mendengar komitmen dan iltizam berterusan PAS bagi memperkukuhkan ikatan persaudaraan dalam PN seterusnya menetapkan hala tuju yang lebih jelas bagi menghadapi pilihan raya,” katanya di Facebooknya hari ini.

Muhyiddin hadir pagi tadi ke Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-68 yang diadakan di Kedah.

“Saya bagi pihak PN dan BERSATU mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh perwakilan muktamar tahunan kali ini.

“Muktamar kali ini amat penting kerana berlangsung dalam suasana semua parti politik termasuk PN bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 yang dijangka diadakan pada tahun ini,” katanya.

Muhyiddin juga mengucapkan tahniah kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di atas ucapan dasar beliau yang selari dengan matlamat perjuangan PN untuk membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, berintegiriti dan bebas rasuah ke arah mewujudkan Malaysia Sejahtera.