ALOR SETAR, 3 Sept – PAS bertegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan serta kemungkaran.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata PAS tidak boleh memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus kerana meraikan kemungkaran semata-mata menjaga hati dan kepentingan yang salah sehingga meninggalkan prinsip.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta’awun yang berlandaskan petunjuk al-Quran.

“PAS memperkenal pendekatan mengikut petunjuk al-Quran berkonsepkan Keluarga Malaysia Masyarakat Majmuk. PAS menolak sebarang agenda perpaduan kaum yang sempit dan mempunyai wawasan yang terhad.

“Pada masa sama, PAS sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam.

“Hal ini penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-69, di Kompleks PAS Kedah di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun, sepanjang ucapan itu Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang tidak menyentuh secara langsung isu kerjasama parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO.

Abdul Hadi turut menjelaskan berkata, kerjasama dalam perpaduan mempunyai sempadan dan hanya dalam perkara kebaikan serta takwa berlandaskan tali Allah (Islam) yang menegakkan keadilan, melakukan kebajikan dan meninggalkan yang salah.

Katanya, disebabkan itu jika seseorang itu berdosa dan insaf, dibuka pintu taubat dan pengampunan ke atasnya.

Beliau berkata, perpecahan dalam kalangan parti Melayu menyebabkan umat menjadi lemah sehingga kehilangan kuasa politik bagi memerintah negara.

PAS kata Abdul Hadi bertanggungjawab mengajak perpaduan umat untuk melakukan Islah atau pembaharuan daripada kesilapan kerajaan terdahulu dan berusaha menyatukan parti Melayu Islam.

Katanya, PAS itu juga mahu menyatukan kalangan bukan Islam yang tidak esktrem bagi membentuk sebuah negara masyarkat majmuk yang sejahtera pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi menentukan bentuk kerjasama itu, mandatnya diserah kepada Majlis Syura Ulama dan PAS Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar dan strategi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Segala kemungkinan selepas pilihan raya juga akan ditentukan demi memastikan Islam terus memimpin, termasuk urusan penentuan kerusi dan calon dalam menghadapi PRU-15.

“PAS terus berpegang teguh dengan akidah Islamiah dan memilih pendekatan demokrasi dengan menyertai semua pilihan raya, walaupun tidak dinafikan masih terdapat banyak kelemahan dan salah laku seperti penipuan, politik wang dan rasuah.

“Dalam hal ini, PAS tetap mendahulukan pendekatan damai, politik berdakwah dan memainkan peranan mengilmukan masyarakat yang tenggelam dalam kejahilan terhadap Islam serta ketinggalan dalam kefahaman politiknya,” katanya.