ALOR SETAR, 3 Sept – Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menolak kerjasama bersama PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dianggap tidak mewakili pendirian parti itu secara keseluruhan.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata ini kerana Ahmad Zahid tidak boleh dilihat sebagai mewakili parti itu sepenuhnya, berikutan UMNO masih mempunyai pimpinan kanan serta ahli di peringkat akar umbi.

Beliau menegaskan, sebarang kenyataan dibuat Ahmad Zahid yang menolak kerjasama bersama PAS pada PRU-15 bukanlah keputusan sepenuhnya UMNO.

“UMNO bukan (hanya berkisar pada) Presiden UMNO sahaja…UMNO adalah suatu parti yang ada Majlis Kerja Tertinggi (MKT), ada naib-naib presiden, ada negeri dan bahagian.

“Saya harap itu kenyataan Presiden UMNO sahaja (tolak kerjasama dengan PAS) dan bukan ahli UMNO, bukan akar umbi dan bukan semua pemimpin UMNO,” katanya pada sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-68 di Kompleks PAS Kedah, di sini, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan bahawa kerjasama yang disampaikan PAS hanya satu bentuk kerjasama politik dangkal yang tidak mengambil kira keperluan rakyat sebagaimana semangat Muafakat Nasional (MN) yang sebenar.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, pihaknya masih berpegang pada perjanjian asal MN, di mana PAS dan UMNO bersetuju mana-mana pihak yang mahu menyertai MN termasuk BERSATU diterima.

“Agenda kita adalah perpaduan ummah. Ummah ini rakyat Malaysia seluruhnya, sama ada Melayu dan Bumiputera termasuk bukan Bumiputera yang jadi warganegara, kita terima hakikat mereka sebahagian kita.

“Disebabkan itu agenda perpaduan ummah ini membabitkan mereka dan disebabkan itu, PAS menerima MN dan Perikatan Nasional (PN).

“MN membabitkan parti Melayu Bumiputera dan PN membabitkan bukan Bumiputera,” katanya.