SERDANG, 4 Sept – Kementerian Dalam Negeri (KDN) berharap agar kementerian yang lain turut mengambil inisiatif bagi mendekati golongan muda dalam membantu mereka untuk membuat pilihan yang betul dalam kehidupan selain menyediakan program yang dekat dengan jiwa golongan itu.

Menurut menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin, golongan muda merupakan aset penting negara yang perlu sentiasa dibimbing dengan cara sesuai dengan kehendak dan gaya hidup masa kini.

Katanya, golongan tersebut senang untuk didekati menerusi program-program yang bersifat santai dan diselangi dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat yang perlu diambil peluang oleh agensi-agensi kerajaan dalam membimbing mereka.

“Sebab itu KDN mengaturkan program-program kepada mereka ini untuk diberikan latihan yang secukupnya. Latihan yang kita maksudkan adalah supaya kementerian-kementerian yang lain juga dapat turut bersama membantu mereka.

“Contohnya dari segi meningkatkan kemahiran termasuk TVET dan mereka datang ke sini untuk mengetahui apa yang ada yang boleh mereka ambil peluang dan saya minta juga supaya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai contoh untuk menganjurkan beberapa program supaya memaklumkan kepada anak muda untuk menyedarkan mereka bahawa kehidupan ini memerlukan peningkatan daripada semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui media selepas hadir merasmikan Program Belia Prihatin Negara di sini pada Sabtu.

Tambah Hamzah lagi, anak muda juga perlu sedar bahawa dalam menikmati pelbagai aktiviti remaja, mereka juga mempunyai tanggungjawab yang perlu dilunaskan kepada keluarga, masyarakat dan juga negara.

Agensi kerajaan jelasnya boleh berperanan sebagai pihak yang memberi sokongan membabitkan peluang yang mungkin boleh diceburi berdasarkan minat mereka.

“Kita nak ketengahkan ini semua supaya anak-anak muda tahu bahawa kerajaan sebenarnya banyak ruang dan peluang untuk mereka berkecimpung. Sebab itu saya menggalakkan supaya program seperti ini bukan hanya kita berseronok, tapi juga ambil maklum semua agensi yang ada di sini agar mereka tahu peluang yang diberikan (kepada mereka),” katanya lagi.

Program Belia Prihatin Negara yang memasuki edisi ke-10 itu berjaya menarik minat penyertaan hampir 50,000 belia termasuk dalam kalangan remaja seluruh negara dengan pelbagai aktiviti menarik oleh penganjur.

Turut diadakan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah menarik untuk dimenangi termasuk motosikal.