PUTRAJAYA, 4 Sept – Eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak di Malaysia, semakin membimbangkan apabila sebanyak 106,764 alamat Protokol Internet (IP) berdaftar di negara ini dikesan membuat perkongsian kandungan lucah membabitkan golongan itu sejak 2017 hingga Ogos lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata data dikongsikan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menunjukkan perkembangan tidak sihat, terutama membabitkan golongan kanak-kanak.

Jika tidak dibendung, beliau berkata, ia dikhuatiri akan mendorong ketagihan seks dan seterusnya membawa kepada perlakuan seksual lain yang boleh menjurus kesalahan jenayah seperti rogol, mencabul kehormatan dan ‘sextortion’ (ugutan berkait seksual).

“Kadar penggunaan Internet pada 2020 turut didapati meningkat, iaitu sebanyak 42 peratus menggunakan Internet melebihi sembilan jam sehari.

“Malah, hasil kajian mendapati tahap kesedaran kawalan ibu bapa terhadap penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak mereka, menurun daripada 62.5 peratus pada 2018 kepada 53.3 peratus pada 2020.

“Bukan itu saja, telefon pintar didapati adalah gajet paling popular untuk mendapatkan Internet, dengan mencapai kadar penggunaan 98.7 peratus, manakala sebanyak 78.3 peratus ibu bapa di Lembah Klang membenarkan anak-anak mereka memiliki gajet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak, di sini, hari ini.

Berdasarkan statistik PDRM antara Januari hingga Jun lalu, Rina memaklumkan, sebanyak 1,348 kes direkod membabitkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dengan paling tinggi ialah kes rogol, iaitu 641 kes atau 47.6 peratus.

“Selain itu, kesalahan mencabul membabitkan 438 kes, sumbang mahram (127), seks luar tabii (95) dan rogol berkumpulan (47),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kemunculan pelbagai aplikasi dalam talian yang mudah dimuat turun serta menjadi trend gaya hidup kini seperti TikTok, Instagram dan WeChat, mendorong waktu melayari Internet dalam kalangan kanak-kanak menjadi lebih lama, sekiranya tiada langkah pengawalan diambil.

“Tidak cukup dengan itu, kita turut dikejutkan dengan isu aplikasi ‘Litmatch’ yang mana ia didakwa dijadikan akses oleh individu tidak bermoral untuk membuat ajakan kepada kanak-kanak, dengan akses mudah terhadap Internet serta gajet yang kini menjadi satu keperluan untuk pembelajaran.

“Perkara ini mengundang kerisauan bukan saja kepada saya tetapi juga Kementerian Pembangunan, Wanita dan Masyarakat serta ibu bapa,” katanya.

Rina menegaskan, kementeriannya yang bertanggungjawab dalam penjagaan kebajikan kanak-kanak, tidak boleh bertolak ansur dengan perbuatan mengeksploitasi kanak-kanak secara seksual.

“Ia juga selaras dengan komitmen negara terhadap Artikel 34 (Eksploitasi Seksual) bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang menyatakan bahawa kerajaan perlu melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk eksploitasi dan penderaan seksual.

“Seksyen 17(2)(c) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa seorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks, jika dia mengambil bahagian sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi maksud apa-apa bahan fotografi, rakaman, filem, pita video atau persembahan yang berunsur pornografi, lucah atau sumbang; atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain,” katanya

Sementara itu mengenai kempen yang dilancarkan pula, Rina berkata, ia bagi meningkatkan kefahaman kanak-kanak mengenai penggunaan media sosial secara bijak dan selamat, sekali gus memberi pendedahan kepada golongan berkenaan mengenai bahaya media sosial.