KUALA LUMPUR, 5 Sept – Cadangan berkaitan garis panduan untuk membenarkan pelarian seperti etnik Rohingya bekerja di negara ini sudah dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata idea cadangan itu termasuk apakah langkah-langkah bagi membolehkan golongan berkenaan bekerja di negara ini, mengikut undang-undang Malaysia sudah pun dibentangkan.

Justeru, beliau berkata, perincian dan sebarang pengumuman mengenai kebenaran itu akan diumumkan oleh menteri bertanggungjawab.

“Daripada segi pekerjaan sudah pun dibincangkan di Kabinet dan ada beberapa cadangan…tetapi biarlah menteri bertangungjawab nanti mengumumkan apa kaedah untuk membantu, kerana ia membabitkan beberapa kementerian.

“Tetapi pokok pangkalnya kita tahu yang kita (Malaysia) masih bergantung kepada pekerja asing yang dibawa masuk dan pada waktu sama kita ada pelarian Rohingya di dalam negara juga ingin bekerja.

“Jadi kita harus lihat kemungkinan yang sedemikian terutamanya selepas COVID-19 sehingga menyebabkan kemasukan pekerja asing sangat perlahan dan kita faham kenapa…kerana perlu melalui prosedur yang lebih ketat. Justeru, kita sedang tengok macam mana caranya.

“Apa pun, belum ada keputusan yang tepat berhubung apa langkah-langkahnya tetapi ideanya sudah ada. Ideanya adalah untuk bagaimana membolehkan mereka bekerja dengan cara yang mengikut peraturan dan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Rabbaniyah Educare iaitu pusat pendidikan alternatif untuk etnik Rohingya di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Yayasan Geutanyoe, Lilianne Fan dan penyelia Rabbaniyah Educare, Qutub Shah.

Berdasarkan kunjungannya ke pusat pendidikan untuk pelarian Rohingya, Saifuddin berkata Kementerian Luar sedang menyediakan kertas komprehensif yang menggariskan beberapa perkara berkaitan pendidikan buat kanak-kanak pelarian itu.

Katanya perkara pertama yang digariskan dalam kertas itu adalah bagaimana untuk memastikan lokasi yang menempatkan sekolah pelarian itu tidak berpindah-randah.

“Kedua, untuk memastikan sekolah berkenaan berdaftar dan memperoleh perakuan kelayakan supaya dapat beroperasi dengan sistematik. Ketiga adalah menyediakan latihan kepada guru dan membekalkan guru sepenuh masa untuk ditempatkan ke sekolah berkenaan.

“Isu lain membabitkan pengangkutan (ke sekolah) untuk kanak-kanak berkenaan kerana ada yang perlu ke sekolah 15 hingga 30 minit dan bagaimana untuk meneruskan pengajian kanak-kanak dari sekolah rendah ke sekolah menengah.

“Ini kerana ada kanak-kanak perempuan Rohingya yang ibu bapanya mengaturkan perkahwinan buat mereka dan bagi kanak-kanak lelaki pula…mereka memilih untuk bekerja bagi membantu keluarga. Ini yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Difahamkan terdapat 48 pusat pendidikan alternatif di seluruh negara, sama ada ia didanai sepenuhnya oleh komuniti Rohingya, menerusi kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dijalankan sepenuhnya oleh NGO.

Daripada keseluruhan 150,000 Rohingya di negara ini, kira-kira 30 peratus kanak-kanak pelarian itu bersekolah di pusat pengajian terbabit.