PUTRAJAYA, 5 Sept – Mahkamah Rayuan menolak rayuan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bagi membatalkan tiga tuduhan rasuah dan enam tuduhan pengubahan wang haram dihadapinya.

Bagaimanapun, bekas Pengerusi Tabung Haji itu dilepas dan dibebaskan daripada baki empat tuduhan pengubahan wang haram.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan sembilan pertuduhan yang dikenakan terhadap Abdul Azeez tidak cacat.

Keputusan sebulat suara itu yang dibacakan oleh Hakim Abu Bakar turut memerintahkan perbicaraan kes Abdul Azeez di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diteruskan bagi sembilan pertuduhan itu pada 7 September ini.

Abu Bakar berkata, alasan pembelaan bahawa semua tuduhan itu adalah cacat, tidak sah, tidak berasas dan berniat jahat adalah tidak benar.

“Kita melepas dan membebaskan Azeez atas tuduhan ketiga, ketujuh, kelapan dan kesembilan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

“Tuduhan terbabit mengatakan kesalahan di Lembah Klang, ia bukan sahaja Kuala Lumpur tetapi termasuk Selangor. Oleh kerana tempat kejadian tidak dijelaskan dengan tepat ini mengelirukan perayu dan membuatkan perayu tidak dapat membuat persediaan mencukupi untuk membela diri,” katanya ketika membacakan keputusannya di sini pada Isnin.

Abu Bakar turut mempertikaikan kewajaran pihak pendakwaan gagal menyatakan tempat kejadian dengan jelas dalam empat pertuduhan itu di mana ia menimbulkan tanda tanya yang serius sedangkan pertuduhan-pertuduhan lain boleh dinyatakan dengan terperinci.

Terdahulu pada awal prosiding, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez berkata, pasukan pembelaan mahu mengetahui perkembangan empat surat representasi kes mengenai fakta dan bukti baharu yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, surat tersebut masih belum dibalas pihak berkaitan.

“Pembelaan ada menjelaskan mengenai deklarasi daripada saksi penting mengenai misi kemanusiaan disertai mereka bersama Abdul Azeez yang berkaitan dengan pertuduhan itu,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad yang mengesahkan menerima representasi berkenaan dan kertas siasatan kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Jumaat lalu, memberitahu, beliau tidak mendapat arahan untuk menjawab representasi itu.

“Kertas siasatan dan minit diangkat kepada Peguam Negara. (Namun) Saya dimaklumkan tiada arahan untuk menjawab representasi itu,” katanya.

Pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan menangguhkan kali ketiga keputusan rayuan itu, selepas pembelaan memaklumkan Abdul Azeez tidak dapat hadir ke mahkamah kerana menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Amer Hamzah dilaporkan berkata, anak guamnya mengalami gastrik dan pihaknya akan mengemukakan cuti sakit kepada mahkamah bagi mengesahkan perkara itu.

Susulan itu, Kamaludin tidak mempertikai tahap kesihatan Ahli Parlimen Baling itu, namun, berharap proses mahkamah tidak disalah guna.

Sebelum ini, keputusan di Mahkamah Rayuan ditangguhkan dua kali kerana pembelaan memohon ruang dan masa bagi menghantar representasi kepada Pejabat Peguam Negara susulan penemuan bukti baharu kes itu.

Pada 12 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Abdul Azeez bagi membatalkan kes sama.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pertuduhan yang dikenakan terhadap Abdul Azeez tidak cacat.

Sebelum ini, Abdul Azeez menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 serta dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.