KUALA LUMPUR, 5 Sept – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan bagi mengadakan ‘Malam Tanpa Kereta’ atau ‘Car Free Night’ pada setiap malam minggu di Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata inisiatif itu bagi melindungi keselamatan orang ramai yang gemar berbasikal serta menjadikan Putrajaya sebagai antara lokasi utama bagi aktiviti riadah.

Selain itu menurut beliau, ‘Malam Tanpa Kereta’ itu juga dilihat sebagai bukti bahawa KBS sentiasa menyokong aktiviti berbasikal di seluruh negara.

“Jika kita adakan ‘car free night’ tentu akan lebih ramai libatkan diri dan ini, kita perlu juga menjaga keselamatan mereka. “Car free night’ saya percaya meletakkan Putrajaya sebagai satu ‘map’ kepada semua pengemar basikal dari seluruh Malaysia untuk datang beriadah,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian selepas merasmikan Program Perhimpunan Mega Basikal Lipat Kebangsaan 2022 di ibu negara, pada Ahad.

Program itu disertai lebih 2,700 peserta dari 100 kelab basikal lipat di seluruh negara.