SHAH ALAM, 6 Sept – Program ‘Sesi Kopi & Undang-Undang’ anjuran Biro Perundangan dan Perlembagaan BERSATU Malaysia dilihat bagus untuk memupuk rakyat celik tentang isu-isu semasa berkaitan perundangan.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata program seperti itu dilihat berada dalam landasan tepat berkaitan isu-isu semasa dan perlu diperluaskan ke seluruh Malaysia.

“Program di ladasan betul kerana memberi kefahaman kepada orang awam .

“Syabas dan tahniah penganjuran program seperti ini,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Sesi Kopi & Undang-Undang anjuran Biro Perundangan dan Perlembagaan BERSATU Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengucapkan tahniah kepada Naib Ketua Srikandi BERSATU Malaysia yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin kerana menganjurkan program ini.

Beliau berharap program itu dapat diterima masyarakat.

“Perbetulkan pandangan awam mengenai ketelusan sistem kehakiman kita. Sebelum ini, negara berdepan tomahan berkaitan sistem kehakiman yang dikatakan dipengaruhi politik dan sebagainya.

“Pembaharuan reformasi sistem kehakiman hari ini memberi imej agak baik,” katanya.

Tambahnya, sistem kehakiman negara penting dan jika telus mampu untuk menarik pelabur untuk melabur dalam negara.

“BERSATU amat hormat pengasingan kuasa termasuk badan kehakiman.

“BERSATU adalah sebuah parti yang amat menghormati prinsip pengasingan kuasa termasuk badan kehakiman.

“Saya menekankan doktrin pengasingan kuasa ini mestilah dimasukkan dalam matlamat dan tujuan parti kita seperti yang termaktub dalam Fasal 6.6 Perlembagaan BERSATU,” katanya.