KUALA LUMPUR, 7 Sept – Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) menjadikan pemakaian pelitup muka dalam bangunan, kawasan dan ruang tertutup sebagai pilihan.

Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan keputusan KKM sebagai perkembangan positif dalam proses pemulihan negara pasca pandemik.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang ramai untuk kekal berhati-hati dan bersedia memakai pelitup muka sekiranya berada di lokasi yang berisiko untuk dijangkiti COVID-19, seperti kawasan yang sesak.

“keputusan yang dibuat oleh Menteri Kesihatan ini kita terima. Dia kata ia pilihan. Kalau rasa tidak selesa atau tidak selamat, pakailah. Ia tidak lagi menjadi satu kewajipan.

“Ini perkembangan yang agak baik kerana melihat negara luar seperti United Kingdom (UK) sudah tidak ada lagi yang pakai pelitup muka, melainkan jika ada yang tidak selesa dalam kereta api, bas, tempat sesak, ada yang masih pakai.

“Sebaiknya kita bawa sahaja pelitup muka. Kalau tidak mahu pakai tidak apa, dan jika nak pakai, pakailah.

“Ini satu yang baik. Jika ada pihak tidak setuju, kita tidak boleh paksa. Kalau sudah situasi bertambah baik dan berikan satu keselesaan bagi kita, cuma berjaga-jagalah,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran buku The Doctor Will See You Now – My Life With Ampikaipakan Kandiah di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan pemakaian pelitup muka dalam bangunan, kawasan dan ruang tertutup dijadikan sebagai pilihan berkuat kuasa serta-merta.

Dengan ketetapan baharu itu, pemilik premis boleh memutuskan sama ada mahu menentukan pengunjung perlu memakai pelitup muka atau sebaliknya jika mahu masuk ke dalam premis mereka.

Bagaimanapun, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan bagi situasi seperti kes positif COVID-19, menggunakan pengangkutan awam dan semasa berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis dan yang setara dengannya.

Pada 29 Ogos lalu, Muhyiddin dilaporkan meminta KKM mengkaji semula keperluan memansuhkan peraturan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup, berikutan situasi COVID-19 yang beransur pulih.