KUALA LUMPUR, 7 Sept – BERSATU membidas tindakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang enggan campur tangan dalam siasatan video tular di media sosial mengenai seorang calon ijazah doktor falsafah (PhD) Universiti Malaya (UM) yang mendakwa hasil penyelidikannya diambil penyelia tanpa kebenaran.

Ketua Bahagian BERSATU Lembah Pantai, Ir Zainal Ariffin Osman berkata Noraini tidak harus lepas tangan apabila timbul isu begini.

Tegasnya, isu itu perlu diselesaikan dengan berhemah dan adil kepada pihak universiti dan juga pelajar terlibat.

“Bagi saya isu di sini adalah hasil kajian menjadi hak milik pihak mana.

“Difahamkan UM yang keluarkan bajet untuk pelajar tersebut membuat kajian PHD,” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata hak milik sepatutnya di bincang oleh pihak UM dan pelajar terbabit sebelum diteruskan kajian.

“Perlu lihat balik perjanjian antara kedua pihak,” katanya.

Pada 3 Sept lalu, Noraini berkata, siasatan telus dan terperinci berhubung isu itu diserahkan sepenuhnya kepada pengurusan UM yang mempunyai autonomi terhadap kes berkenaan.

Beliau berkata, pengurusan UM telah menghantar laporan berhubung dakwaan pelajar itu kepada kementerian bersama laporan polis yang dibuat.

Pada 29 Ogos lepas, media melaporkan, UM turut membuat laporan polis bertujuan menafikan dakwaan dibuat pelajar tersebut.

Dalam video tular itu, pelajar dari Yaman berusia 34 tahun berkenaan membuat laporan polis terhadap UM mendakwa kajiannya diambil tanpa pengetahuan.

Melalui video durasi lebih seminit itu, pelajar berkenaan memaklumkan menghabiskan hampir dua tahun untuk menyiapkan kajian tersebut tetapi akhirnya kecewa apabila kajiannya diambil pihak universiti.