PADANG SERAI, 7 Sept – Dakwaan polis melakukan intimidasi dan bertindak tidak adil dalam menjalankan siasatan adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab untuk mengheret institusi penguatkuasaan negara ke dalam kancah propaganda politik PKR.

Ketua Penerangan BERSATU Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata PKR gemar menggunakan alasan intimidasi untuk menunjukkan seolah-olah institusi ini mengamalkan penindasan dan kezaliman.

“Mungkin mereka terikut-ikut dengan Presiden mereka iatu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering-kali bertindak sedemikian.

“Pihak polis bukan tunggangan politik sebagaimana yang digembar gembur oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, PKR masa ini cuba mendesak Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad untuk mengakui bahawa beliau mempunyai isteri bernama Zainab Mohd Salleh.

Katanya, PKR juga sedang mendesak Abd Latiff mengakui menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Pertahanan pada 2014 semasa kontrak perolehan Kapal LCS TLDM ditandatangani di mana telah dinafi berkali-kali oleh beliau secara umum tanpa berselindung.

“Beban pembuktian perlu diletakkan dari pihak yang mendakwa yang perlu membuktikan fakta isu yang ditegaskan.

“Sepatutnya ahli PKR yang membuat laporan PDRM perlu membantu untuk melancarkan penyiasatan dengan mengemukakan bukti bagi membantu siasatan bukan bermain propaganda politik,” katanya.

Kata Khairul lagi, PKR sebelum ini menegaskan bahawa mempunyai bukti Zainab Mohd Salleh adalah isteri kepada Latiff dan pelbagai bukti lain yang mengaitkan beliau dalam skandal kapal LCS.

Beliau berkata seharusnya PKR perlu menyerahkan bukti itu kepada polis untuk melengkapkan siasatan.

“Saya rasa mungkin jika rumah mereka dirompak mereka berjumpa polis tanpa memberitahu alamat tempat kejadian, masa dan tarikh kejadian agar pihak polis menyiasatnya dengan sendiri.

“Apabila ditanya di mana rumah kamu maka mereka menjawab ini bukan tugas kami tapi polis harus siasat di mana rumah saya.

“Jika dipanggil untuk menambah keterangan mereka akan menjawab ini satu bentuk intimidasi di mana yang sepatut disiasat adalah perompak yang merompak rumah,” katanya.

Tegas Khairul, kegilaan itu harus dihentikan di mana PKR akan merosakkan keseluruhan sistem penguatkuasaan dalam negara dengan menghasut rakyat berpandangan negatif terhadap institusi ini.