BALING, 7 Sept – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sesuai diadakan tahun hadapan selepas bulan Mac memandangkan negara sedang berada dalam fasa pemulihan ekonomi dan menstabilkan politik.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Mohd Taufik Yaacob berkata kerajaan tidak perlu melayan desakan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mahu PRU15 dipercepatkan berikutan berpandangan mereka hanya mempunyai agenda peribadi berbanding untuk rakyat.

Tegasnya, walaupun Perikatan Nasional (PN) dan BERSATU sedia menghadapi PRU15 pada bila-bila masa tetapi merasakan waktu ini bukan masa sesuai lagi.

“Pada pandangan saya walaupun parti-parti dalam PN seperti BERSATU, PAS dan Gerakan sedia hadapi Pilihan Raya pada bila-bila masa, tetapi sebaiknya kerajaan menumpukan kebajikan ekonomi negara.

“Jangan tergesa-tergesa adakan pilihan raya. Tidak perlu ikut rentak desakan pemimpin Umno yang ada kepentingan sendiri.

“Masa sesuai adakan pilihan raya adalah pada tahun hadapan amat sesuai. Selepas bulan tiga (Mac),” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

Pada 29 Ogos lalu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpandangan PRU15 sesuai diadakan dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan bulan lagi.

Azmin berkata, ini kerana negara memerlukan sedikit masa lagi untuk memastikan pengukuhan aliran tunai dan ekonomi yang lebih stabil.

Mengulas lanjut, Taufik berkata negara perlu memperbaiki kestabilan politik dan kestabilan ekonomi.

Katanya, buat masa ini lebih baik semua pihak-pihak parti politik memberi penumpuan kepada agenda pemulihan negara dan membantu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memulihkan pembangunan ekonomi dan kesihatan negara.

“Masa yang sesuai saya rasa terserah pada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, parti-parti politik, dan Yang di-Pertuan Agong untuk tentukan pada tahun hadapan.

“Pada saya masa ini adalah paling sesuai untuk selesaikan masalah kebajikan ekonomi, pembangunan, pemulihan dan kesihatan. Bagi stabil semua baru fokus ke arah pilihan raya,” katanya.

Tambahnya, beliau kecewa dengan sikap parti-parti politik tertentu seperti Umno dan BN yang sentiasa desak kerajaan untuk bubarkan Parlimen dengan kadar segera.

Katanya, ini kerana desakan itu bukan desakan untuk stabilkan politik atau bantu selesai ekonomi tetapi hanyalah desakan peribadi pihak-pihak tertentu terutama kluster mahkamah.

“Mereka mahu diadakan segera secepat mungkin pilihan raya dengan andaian mereka akan menang.

“Tetapi kena ingat hari ini kalau pilihan raya diadakan sekarang, BN tidak akan menang sebab rakyat sudah menilai dalam BN ramai pemimpin terpalit dikenakan tindakan mahkamah. Terbukti mereka telah bersalah di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Taufik berkata jika Umno mahu stabilkan negara, Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mendesak untuk diadakan pilihan raya.

Katanya, apabila negara stabil baru serah pada mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan.

“Sekarang pakat bagi stabil. Yang sebab tak stabil di pihak Umno, BN yang sentiasa huru hara dengan tomahan dan bangkitkan isu terhadap kerajaan,” katanya.