PUTRAJAYA, 7 Sept – Seramai 150 ahli Majlis Perwakilan Kanak- Kanak (MPKK) 2022-2023 seluruh negara, termasuk wakil dari kaum Orang Asli dan OKU, hadir dalam Program Persidangan Majlis Perwakilan Kanak-kanak, pada Selasa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata berkata pelbagai isu dan topik telah dibentang dari wakil MPKK dan antaranya berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian.

Tambahnya, isu lain seperti penderaan kanak-kanak dan inisiatif untuk meningkatkan keselamatan kanak-kanak turut dibincangkan.

“Pagi tadi saya telah hadir ke program Pembentangan Isu dan MPKK Sempena Persidangan Majlis Perwakilan Kanak-kanak Tahun 2022 yang diadakan di Bangunan KPWKM.

“Tahniah saya ucapkan kepada 150 ahli MPKK 2022-2023 seluruh negara termasuk wakil dari kaum orang asli dan OKU yang komited dan cakna terhadap situasi semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Rina berkata turut dibincangkan dalam program itu seperti isu kesihatan mental kanak-kanak, statistik tumbesaran kanak-kanak dan pendapat tentang pemansuhan peperiksaan UPSR dan PT3.

Katanya, persidangan itu memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengemukakan isu serta cadangan kepada agensi yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

“Inilah yang kita harapkan agar anak-anak kita mewarisi dan menjadi pelapis masa hadapan selaras dengan aspirasi negara,” katanya.