PUTRAJAYA, 8 Sept – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), hari ini melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) 2022 hingga 2025.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, objektif utama dasar itu antara lain bagi meningkatkan kesedaran individu, keluarga dan masyarakat mengenai kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif.

“Selain itu ia bertujuan membangun dan menambahbaik program pendidikan kesihatan reproduktif bersesuaian dengan budaya dan amalan semasa di negara ini.

“Membangunkan kepakaran dalam pendidikan kesihatan reproduktif, memperbanyakkan penyelidikan dan pembangunan untuk menambah baik semua aspek pendidikan kesihatan reproduktif.

“Memastikan pemantauan terhadap pelaksanaan program dan pelan tindakan adalah secara berterusan,” katanya pada majlis pelancaran dasar itu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rina berkata, pelbagai kes yang menyentuh isu kesihatan reproduktif dan sosial dalam kalangan masyarakat terutamanya membabitkan golongan kanak-kanak, remaja dan wanita berlaku dari semasa ke semasa.

“Berdasarkan statistik kes membabitkan isu jenayah seksual direkodkan menerusi Sistem Maklumat Nasional Isu-Isu Sosial (MaNIS) di bawah KPWKM, pada 2020, kes kehamilan remaja belum berkahwin mencatatkan sebanyak 9,083 kes, kes rogol remaja (1,378 kes) manakala pembuangan bayi (125 kes).

“Ini sedikit menurun berbanding 2019 iaitu kes kehamilan remaja yang belum berkahwin merekodkan 10,349 kes, rogol remaja (1,453) dan pembuangan bayi (104 kes).

“Sepatutnya menjadi keutamaan semua pihak untuk sama-sama melaksanakan tindakan yang perlu bagi memastikan statistik ini dapat diturunkan, seterusnya memastikan tiada lagi kes kehamilan remaja belum berkahwin, kes rogol remaja dan pembuangan bayi,” katanya.

Beliau berkata, salah satu langkah jangka panjang yang perlu diambil adalah melalui pelaksanaan program khusus untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat khususnya golongan remaja mengenai isu kesihatan reproduktif dan kaitannya dengan pelbagai gejala sosial.

“Saya percaya, perkara ini adalah satu elemen bagi perkembangan dan pembangunan insan yang sihat, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Penerapan nilai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial ini seharusnya menjadi asas kepada pembangunan insan, keluarga dan negara yang sihat dan sejahtera.

“Pada masa sama, kita juga perlu memastikan akses semua golongan masyarakat kepada perkhidmatan kesihatan reproduktif dan seksual ditingkatkan dalam segenap aspek,” katanya.

Dasar PEKERTI dibangunkan pada 2009, namun KPWKM menerajui semakan semula dasar itu yang sudah mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada 27 April lalu.

Dasar itu menyentuh pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial yang terpakai kepada semua lapisan masyarakat dengan mengambil kira kepelbagaian agama, budaya, nilai hidup masyarakat, kumpulan umur dan jantina di negara ini.