BALING, 8 Sept – Mana-mana parti politik tidak perlu menganggu gugat pentadbiran negeri yang baik supaya dibubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal daripada Mac tahun depan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Mohd Taufik Yaacob berkata tindakan kerajaan PAS yang menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk tidak bubar DUN lebih awal adalah tindakan yang bagus untuk tidak membazirkan duit rakyat.

“Kita (BERSATU) hormati pandangan mereka. Memang perlu dibuat macam itu buat apa nak bazir duit rakyat.

“Masa masih ada dan tidak ada masalah pun di tiga negeri itu iaitu di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Mereka boleh beri perkhidmatan pada rakyat,” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung kerajaan dipimpin parti itu yang menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak akan membubarkan DUN lebih awal daripada Mac tahun depan.

Pada 30 Ogos lalu, Takiyuddin berkata keputusan itu hasil Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS.

Pimpinan UMNO sebelum ini mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO, sekadar meminta semua supaya ‘menunggu’ pengumuman tarikh pilihan raya umum itu.

Dalam pada itu, Taufik mempersoalkan mengapa perlu menganggu gugat kerajaan yang stabil sedangkan tidak ada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) boleh usul undi tidak percaya di tiga negeri itu.

“Dalam keadaan sihat dan stabil, kenapa nak cari sesuatu benda yang tidak stabil.

“Buat apa nak bubar awal jika tak ada masalah pentadbiran itu,” katanya.