KUALA LUMPUR, 8 Sept – Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, tiada sebarang rundingan rasmi antara PAS dan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata perbincangan antara dua parti itu yang didakwa berlaku adalah secara tidak rasmi dan tidak membabitkan pucuk pimpinan parti.

“Tiada apa-apa kemajuan dicapai daripada perbincangan ini selepas UMNO membuat pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PAS dalam PRU-15.

“PAS juga mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti anggota dalam PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, mengulas intipati mesyuarat PN malam tadi.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Majlis Tertinggi PN sudah membuat ketetapan untuk memberi tumpuan kepada usaha membela nasib rakyat khususnya golongan miskin dan berpendapatan rendah dalam menghadapi kesan inflasi dan keadaan ekonomi yang diunjur tidak bertambah baik.

“Mesyuarat mengambil maklum bahawa kumpulan B40 meningkat menjadi kumpulan B60 dan penyediaan bantuan bagi kumpulan pendapatan terkebawah ini mesti diberikan tumpuan oleh kerajaan.

“Bagi membantu meringankan beban kumpulan ini, PN mengarahkan seluruh jentera parti di semua peringkat agar melaksanakan program Prihatin Rakyat di seluruh negara bagi menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Muhyiddin berkata, Majlis Tertinggi PN dalam mesyuarat malam tadi juga telah meluluskan pelantikan ketua-ketua kawasan bagi Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.