KUALA LUMPUR, 8 Sept – Walaupun baru menginjak usia enam tahun, BERSATU telah memberikan sumbangan yang besar dalam pentadbiran negara.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu telah berjuang melawan kleptokrasi, mewujudkan pemerintahan yang berintegriti dan bebas rasuah.

“BERSATU juga melaksanakan pelbagai program prihatin rakyat yang menunjukkan BERSATU berada di landasan perjuangan yang selari dengan matlamat penubuhan parti.

“Hari ini BERSATU menyambut ulang tahun ke-6 penubuhannya,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata kekuatan BERSATU semestinya terletak di tangan ahli-ahlinya.

Katanya, sekiranya ahli-ahli parti terus istiqamah dalam menghayati semangat perjuangan, BERSATU akan terus mendokong matlamat dan perjuangan parti sepertimana yang termaktub dalam perlembagaannya.

“Maka BERSATU akan terus melangkah gagah dalam menjulang obor perjuangan parti.

“Ini termasuk mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan yang bebas rasuah, melaksanakan tadbir urus yang berintegriti, menegakkan sistem demokrasi berparlimen, memperjuangkan keadilan sosial dan menghormati doktrin pengasingan kuasa.

“Ini termasuk kebebasan badan kehakiman, menegakkan Islam sebagai Agama Persekutuan, menghormati hak semua individu untuk mengamalkan agama masing-masing, mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah bagi semua kaum, memelihara hak-hak asasi rakyat, memupuk perpaduan dan keharmonian rakyat, mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara dan mendokong Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tambahnya, ini adalah prinsip-prinsip penting perjuangan parti yang terkandung dalam Perlembagaan BERSATU.

Beliau berkata prinsip-prinsip itu mestilah diamalkan dan diperjuangkan oleh setiap ahli BERSATU.

“Ahli-ahli BERSATU mesti dikenali dengan prinsip-prinsip ini yang membezakan mereka dengan yang lain.

“Ahli-ahli BERSATU juga mestilah sentiasa bersatu padu dan menjadi contoh teladan yang baik dalam membentuk suatu budaya politik yang murni supaya parti kita dihormati oleh semua.

“Ini penting supaya parti kita terus kekal bersatu, beramanah dan bermaruah selaras dengan cogan kata parti,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata sepertimana yang semua maklum, pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa.

Justeru, beliau menyeru kepada seluruh ahli parti, terutamanya jentera parti di semua peringkat, supaya sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi pilihan raya.

“Insya-Allah, berkat usaha dan doa saudara-saudari semua, dokongan rakyat dan izin Allah.

“BERSATU akan kembali menerajui kerajaan menerusi Perikatan Nasional (PN),” katanya.