KUALA LUMPUR, 9 Sept – Semua pihak harus merangka strategi dan persiapan untuk menangani bencana banjir yang dijangka berlaku pada bulan November tahun ini, berbanding berpolitik mengenai desakan segera untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden BERSATU Malaysia, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen berkata ini bagi memastikan bencana banjir dapat diuruskan dengan baik oleh agensi-agensi terlibat dan kebajikan rakyat dijaga dengan baik.

“Sepatutnya kerajaan hari ini memberi tumpuan merangka strategi bagaimana nak pastikan jangan berlaku lagi senario seperti banjir sebelum ini, yang ramai rakyat tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

“Tumpuan sekarang ini kita patut merangka strategi, kerajaan kena tumpu pada itu.

“Mengapa perlu tumpu pada berkempen, nak buat pilihan raya…tak tahu ke rakyat tengah susah sekarang ini banjir akan menimpa negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Dialog Bipartisan: Mengintai PRU15 di saluran Astro Awani, pada Khamis.

Hadir sama menjadi panel, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah; Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP Howard Lee Chuan How; Ketua Pejuang Muda Malaysia Dr Abu Hafiz Salleh Hudin, dan Ketua Eksekutif IDEAS Malaysia Dr Tricia Yeoh.

Mengulas lanjut, Mohd Rafiq berkata kos pengurusan pilihan raya akan bertambah sekiranya negara mengadakan PRU15 segera, dan kemudian pilihan raya negeri.

Katanya, negeri-negeri yang ditadbir PAS dan Pakatan Harapan (PH) telah mengeluarkan kenyataan tidak akan membubarkan DUN seawal Mac tahun depan.

“Kalau kita ada pilihan raya umum dan kemudian pilihan raya negeri, ia memberi satu tambahan kos pengurusan pilihan raya.

“Kita tahu rakyat tengah susah tetapi kita nak belanja lebih (buat pilihan raya). Kenapa tak boleh tunggu sehingga beberapa bulan sahaja lagi.

“Buat pilihan raya umum dan pilihan raya negeri bersekali, memang dapat jimatkan kos.

“Keutamaan kita sekarang ini apa, nak belanja duit untuk kepentingan politik atau kepentingan rakyat?” soalnya.

Ketika menjawab soalan pengacara program bahawa Perikatan Nasional (PN) mahu membeli masa agar tidak diadakan PRU15 segera, Mohd Rafiq lantas menafikan.

Ujarnya, tidak ada satu parti yang boleh mendabik dada ketika ini bahawa parti itu berada dalam posisi terkuat untuk berhadapan dalam PRU15.

“Perdana Menteri dari UMNO pun bimbang kalau berlakunya pilihan raya, akan berlakunya parlimen tergantung. Tengku Razaleigh Hamzah dari UMNO pun bercakap nada yang sama.

“Ketika ini, bukan soal PN tidak yakin. Hanya kita nak jadikan justifikasi Johor dan Melaka? Itu tidak boleh jadi satu kayu ukur. Keadaan di Kelantan dan Terengganu, mungkin berbeza. Di Selangor, saya tidak rasa BN terlalu kuat, dah beberapa penggal kalah,” katanya.