KOTA BHARU, 11 Sept – Persediaan lebih rapi dirancang bagi berdepan musim Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abd Latif Ahmad berkata, kerajaan akan melibatkan lebih banyak agensi yang akan bergerak bersama bagi tujuan itu.

Menurut beliau, lebih 50,000 sukarelawan di peringkat komuniti dilatih untuk menghadapi kemungkinan bencana itu.

“Kita juga akan memperkasakan Pusat kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang berfungsi mengumpul maklumat dan menyalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk tindakan segera terhadap mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pejabat Pertahanan Awam Negeri Kelantan di Jalan Tunjong-Pasir Mas di sini pada Ahad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Nazran Muhammad, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Aminurrahim Mohamed, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan, Mohd Suhaili Ismail dan Jurutera Mekanikal Pengurusan Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR), Samsuri Maslan.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Nasional hari ini (12 September) bagi membincangkan cadangan serta persediaan awal menghadapi bencana itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 1 September lalu meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan bermula pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan itu.

Monsun Timur Laut yang aktif dalam tempoh itu berkemungkinan mengakibatkan hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar.

Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai hanya mempercayai berita sahih dan kebenaran melibatkan gambar yang ditularkan.

Dalam perkembangan lain, Abd Latif berkata, projek Pembinaan Pejabat Pertahanan Awam Negeri Kelantan, Kota Bharu diluluskan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dua tahun lalu di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

Bangunan dengan kos berjumlah RM50 juta diseliakan JKR negeri itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“Saya dimaklumkan bahawa projek ini turut melibatkan pelantikan perkhidmatan kepakaran perunding bagi kerja arkitek, sivil dan struktur.

“Kita berharap bangunan ini akan membantu kepada peningkatan cara kerja kakitangan Jabatan Pertahanan Awam,” katanya.