KOTA KINABALU, 11 Sept – Kerajaan negeri memohon Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti dan mengkaji keperluan menaik taraf prasarana kesihatan di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata kajian itu perlu menumpukan pada langkah menaik taraf hospital daerah kepada hospital berpakar dan klinik kesihatan.

“Kerajaan negeri juga mahu klinik kesihatan yang masih beroperasi menggunakan bangunan kayu di negeri ini, dinaik taraf dan digantikan dengan bangunan konkrit.

“Ini bagi menampung keperluan rawatan dan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat-Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ) Peringkat Negeri Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap EXCO Kesihatan, Datuk Shahelmey Yahya;

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Rose Nani Mudin.

Mengulas lanjut, beliau juga berharap, lebih ramai pakar perubatan ditempatkan di negeri itu, selain lebih ramai anak muda Sabah diberi keutamaan peluang pekerjaan dalam bidang kesihatan dan perubatan.

Selain itu, Hajiji berkata, pihaknya juga akan memberi biasiswa dan pinjaman kepada belia Sabah yang mengikuti bidang perubatan di institut pengajian tinggi (IPT).

“Dalam hal ini, saya akan minta Yayasan Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri untuk mengambil perhatian serius terhadap permohonan anak Sabah yang mengikuti jurusan perubatan.

Sementara itu, mengulas permintaan Sabah itu, Khairy berkata, KKM mengenal pasti 326 klinik Sabah yang daif dan kurang daif serta memerlukan kerja naik taraf.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 287 klinik daif di negeri itu dibina dengan kayu dan dikategorikan sebagai bangunan tidak selamat diduduki.

“Kita sudah membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk menaik taraf klinik 287 klinik daif dan 39 buah klinik yang tidak daif tetapi tidak selesa untuk digunakan. Ini adalah projek yang akan kita laksanakan dengan kadar segera.

“Saya serius dalam usaha ini. Kami KKM semasa mesyuarat khas MA63 pada Khamis lalu sudah mendapat sokongan daripada Perdana Menteri.

“Ini akan kita bawa dalam perancangan bersama dengan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia yang akan datang,” katanya.