SEPANG, 11 Sept – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap dapat mewujudkan lebih banyak Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Autisme Berkefungsian Tinggi (PPDK HFA) di seluruh negara yang memberi fokus dalam perkembangan potensi kanak-kanak istimewa dengan autisme.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata ketika ini sudah ada dua pusat sedemikian iaitu PPDK Templer di Rawang dan PPDK HFA Cyberjaya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementeriannya perlu melihat keperluan untuk menambah bilangan PPDK HFA kerana setiap PPDK ada pengkhususan tertentu.

“Kita harap lebih banyak PPDK ditubuhkan mengikut jenis ketidakupayaan agar anak istimewa ini mendapat peluang pemulihan dan pendidikan yang sama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Sentuhan Kasih Orang Kurang Upaya (OKU) Prihatin Rakyat di sini, pada Sabtu.

PPDK iaitu inisiatif Program Pemulihan Dalam Komuniti kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menumpukan kepada penyediaan premis dan kemudahan untuk pemulihan, pendidikan, aktiviti dan latihan khusus bagi mengintegrasikan OKU ke dalam masyarakat.

Ketika ini, sehingga 30 Jun lalu, seramai 36,601 individu di Malaysia disahkan mempunyai autisme dengan seramai 24,748 individu terdiri daripada golongan kanak-kanak bawah usia 12 tahun.

Sementara itu, Rina mengumumkan Sepang dipilih menjadi projek rintis untuk mempromosikan pendaftaran OKU secara agresif, iaitu akan bermula hari ini sehingga 31 Oktober depan.

Beliau berkata, ketika ini, hanya 2.05 peratus OKU yang berdaftar dengan JKM iaitu angka yang masih kecil berbanding anggaran 15 peratus OKU dalam negara.

Katanya, setakat 31 Ogos lalu, seramai 619,273 OKU sudah berdaftar dengan JKM.

Justeru, beliau meminta ibu bapa dan penjaga perlu memastikan anak-anak istimewa didaftarkan sebagai OKU bagi membolehkan mereka menikmati kesemua manfaat yang disediakan Kerajaan untuk golongan itu.

Rina berkata, KPWKM juga sudah membangunkan Modul Permohonan Pendaftaran OKU secada dalam talian (MyDaftar OKU) sejak 1 November tahun lalu.

Pada program sama, Rina turut menyampaikan sumbangan Bantuan Kewangan Tambahan Kerajaan sebanyak RM225,679.55 kepada 22 PPDK di beberapa negeri.