LABUAN, 11 Sept – Perikatan Nasional (PN) telah menubuhkan satu jawatankuasa manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang memberi fokus kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kandungan manifesto itu adalah inklusif untuk semua kaum.

“Perikatan Nasional telah menubuhkan jawatankuasa manifesto yang dipengerusikan Datuk Dr Radzi Jidin dan dianggotai oleh wakil-wakil parti komponen Perikatan Nasional.

“Manifesto ini memberi fokus bukan sahaja kepada kestabilan politik, tetapi juga kepada pembangunan ekonomi dengan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Cawangan Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU Labuan di Desa Tunas Hijau, dekat sini pada Sabtu.

Hamzah berkata, jawatankuasa itu akan memastikan setiap kandungan dalam manifesto yang bakal dibentangkan sebelum PRU-15, dapat dicapai.

Mengenai persaingan di antara BERSATU dan UMNO untuk menarik pengundi Melayu dalam PRU-15, beliau berkata, BERSATU kini semakin diterima rakyat seluruh negara, khususnya di Labuan dengan melihat ramai bekas ahli UMNO menyertai BERSATU.

Hamzah berkata, sejak BERSATU ditubuhkan enam tahun lalu, lebih 600,000 telah berdaftar menjadi ahli.

“Kita akan berusaha memastikan BERSATU melahirkan ramai pemimpin unggul yang boleh datangnya dari Labuan dan negeri-negeri lain untuk membantu memimpin kerajaan,” katanya.

Pada majlis sama, Hamzah mengumumkan peruntukan RM50,000 bagi tujuan urus tadbir bahagian dan cawangan BERSATU Labuan dan 300 bakul makanan setiap bulan kepada keluarga memerlukan di pulau bebas cukai ini.