PUTRAJAYA, 12 Sept – Wisma Putra telah menyerahkan 24 senarai calon Ketua Perwakilan Malaysia ke luar negara yang telah diluluskan termasuk ke Indonesia kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk proses tapisan akhir.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kesemua calon bagi mengisi jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan Duta Besar Malaysia itu terdiri daripada pegawai diplomatik yang berkhidmat dengan kerajaan dan bukan daripada kalangan ahli politik.

Senarai calon yang telah diserahkan kepada SPA itu bagaimana tidak termasuk pengisian jawatan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, katanya.

“Insya-Allah akan umum tidak lama lagi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku Himpunan Genta Rasa Jufitri Joha di Wisma Putra di sini hari ini dan setelah diminta mengulas mengenai perkembangan jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang kini masih kosong.

Jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia sebelum ini disandang diplomat Datuk Zainal Abidin Bakar.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, namun, nama beliau tiada dalam senarai penerima watikah pelantikan sebagai Ketua Perwakilan Malaysia ke luar negara pada majlis yang berlangsung di Istana Negara Julai lepas.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, Wisma Putra secara proaktif akan menjalankan kempen advokasi kepada orang awam mengenai sindiket penipuan kerja di negara asing.

“Melalui kempen sedemikian, kita bukan sahaja dapat mendidik masyarakat mengenai penipuan kerja sebaliknya dapat mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia untuk mendapatkan peluang pekerjaan di luar negara melalui saluran yang betul serta dipercayai,” katanya.

Pada 9 Sept lepas, Saifuddin dilaporkan berkata sehingga kini 118 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan daripada 148 kes yang dilaporkan.