SHAH ALAM, 12 Sept – Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata anak-anak wajar diberi pendedahan dalam bidang bukan akademik termasuk kemahiran.

Beliau berkata, bakat yang digilap di luar daripada bidang akademik dapat membuka ruang lebih luas kepada anak-anak untuk mengoptimumkan potensi diri.

“Dalam pendidikan, selain bidang akademik, anak-anak juga wajar diberi pendedahan dalam bidang bukan akademik termasuk kemahiran.

“Bakat yang digilap dapat membuka ruang lebih luas kepada anak-anak untuk mengoptimumkan potensi diri dan seterusnya membuat perubahan yang lebih baik demi masa depan mereka kelak,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Radzi merasmikan Karnival Genius Remaja di Central Concourse Central i-City, Shah Alam, pada Sabtu.

Katanya, karnival itu memberi ruang kepada anak-anak remaja berumur sekitar 13 hingga 19 tahun dalam kalangan komuniti di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) mencungkil bakat dan potensi melalui aktiviti kemahiran seperti pastri, kecantikan, fotografi, muzik dan juga button badge.

“Pak cik doakan semoga anak-anak terus berusaha dan berjaya dalam apa jua bidang yang diterokai,” katanya.