KUALA LUMPUR, 12 Sept – Kehadiran Gerakan Tanah Air (GTA) dalam persada politik negara dilihat bercita-cita tinggi menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi undi akan berpecah yang akan memberi kelebihan kepada UMNO-BN.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan walaupun sukar untuk gabungan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad itu untuk menubuhkan kerajaan tanpa kerjasama dengan mana-mana pihak, ini secara tidak langsung akan membuatkan UMNO-BN gembira.

“GTA adalah satu gabungan yang baharu dan dianggotai oleh parti yang cita-citanya tinggi. Realitinya, tidak mudah menubuhkan parti-parti politik di Malaysia.

“Bagi saya, setiap satu undi diberikan kepada mereka yang very ‘unlikely’ untuk boleh menubuhkan kerajaan, itu akan memberikan kelebihan kepada UMNO-BN.

“Strateginya amat mudah. Kalau sekiranya undi-undi yang tidak menyokong UMNO-BN dan undi yang selain UMNO-BN berpecah, maka faedahnya kepada mereka (UMNO-BN).

“UMNO-BN pasti gembira apabila undi selain daripada UMNO-BN ini menjadikan parti-parti kecil yang semakin banyak merebutkan undi yang sama. Ini menimbulkan persoalan, apa hala tuju mereka (GTA) nak bawa sebenarnya? Bagi saya, GTA ini mungkin cita-cita tinggi tetapi realitinya apa yang akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Perintis Malaysia di Restoran Tiga Batu di sini, pada Ahad.

Wan Saiful mengulas mengenai pandangannya berhubung kehadiran GTA dalam politik negara menuju PRU15.

Dalam pada itu, Wan Saiful menasihatkan pengundi membuat keputusan bijak untuk memberikan undi mereka dalam memastikan negara ditadbir urus dengan lebih baik dan kebajikan rakyat terbela.

“Jadi, pengundi yang kena buat keputusan adakah mereka nak berikan undi kepada parti yang lain dan seterusnya memberi kelebihan kepada UMNO-BN?” soalnya.