NILAI, 12 Sept – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) di 22 Institusi Latihan dan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di seluruh negara, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata modul KIAR itu akan ditawarkan di semua 22 ILKBS, dalam usaha melahirkan modal insan yang bukan sahaja berkemahiran, malah menolak perlakuan rasuah.

“Saya dengan sukacita juga ingin mengumumkan KBS menerusi Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia melakar sejarah menerusi persetujuan pertukaran Nota Kerjasama bersama Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM.

“KBS sentiasa komited dalam usaha memerangi rasuah dan ini termasuk menanamkan semangat antirasuah serta memupuk prinsip tidak bertoleransi terhadap perlakuan rasuah di segenap peringkat,” katanya.

Faizal berkata demikian ketika berucap pada Program Festival Kerjaya ILKBS Zon Tengah di Aeon Mall Nilai, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, KBS bukan hanya mahu melahirkan belia yang berkemahiran untuk memenuhi pasaran pekerjaan, namun turut membina insan.

Sebelum ini, modul berkenaan ditawarkan sebagai subjek elektif peringkat sijil, diploma dan sarjana muda di semua institusi pengajian tinggi (IPT) mulai tahun ini dan seterusnya, ditawarkan sebagai satu kursus mata pelajaran Pengajian Umum (MPU) mulai 2023.

Mengulas mengenai festival pekerjaan ILKBS, Ahmad Faizal berkata, ia bagi merancakkan pembabitan belia dalam pasaran kerja seiring usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara, selain memperkasakan pendapatan isi rumah khususnya golongan asnaf, B40 dan M40.

“Terdapat 1,280 kekosongan jawatan ditawarkan membabitkan 23 industri dalam pelbagai sektor pada kali ini. Belia turut didedahkan dengan peluang latihan di 22 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam 14 bidang kemahiran.

“Kerajaan menyasarkan peningkatan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi menjelang 2030. Kebolehpasaran graduan TVET juga melebihi 90 peratus dalam tempoh tiga tahun berturut-turut,” katanya.