KUALA LUMPUR, 13 Sept – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menyantuni 52,405 peserta di bawah Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM sejak dilancarkan pada April 2021.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata daripada jumlah tersebut seramai 11,114 peserta MyKasih Kapital Yayasan Kebajikan Negara (YKN) telah menjalani kursus-kursus keusahawanan dan bimbingan permulaan perniagaan melalui kolaborasi strategik pelbagai jabatan, agensi dan syarikat korporat.

“Wanita Bangkit mensasarkan wanita untuk menjana pendapatan melalui peluang keusahawanan, mendapat peluang menceburi bidang perniagaan secara kecil- kecilan/keusahawanan di dalam sektor informal dan juga tawaran pekerjaan dalam sektor formal.

“Banyak kisah-kisah kejayaan telah tercatat menerusi program ini. Apa yang penting rancanglah dengan baik apa yang anda ingin lakukan.

“Umpama pepatah orang tua, ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’. Kejayaan itu tidak datang begitu saja, tanpa usaha dan tindakan yang dilakukan,” katanya ketika berucap dalam Program Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM kerjasama YKN dan Usanita di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Dalam pada itu, Rina berkata bantuan geran MyKasih Kapital sebanyak RM500 disediakan untuk memulakan perniagaan dengan modal kecil dalam bidang e-dagang dan perniagaan kecil-kecilan yang bukan di bawah skim di Kementerian Keusahawanan.

Beliau berkata inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM tidak akan mencapai matlamatnya tanpa adanya koordinasi dan kolaborasi mantap dan tersusun dengan pemain industri di luar sana.

“Kerjasama pelbagai agensi dan syarikat serta pihak industri yang menghubungkan dan menyediakan peluang kepada wanita untuk menjana pendapatan dan peluang pekerjaan amat-amat membantu KPWKM dalam usaha ini.

“Rakyat Malaysia perlukan motivasi dan inspirasi. Teruskan menjadi inspirasi buat wanita,” katanya.

Tambahnya, kerjasama dengan Usanita ini dilihat amat siginifikan dengan perjuangan yang sedang saya lakukan menerusi program Wanita Bangkit.

Beliau berkata agenda wanita bangkit merupakan tanggungjawab bersama, kerana apabila bangkitnya seorang wanita, manfaatnya akan dikongsi secara bersama.

“Kita mahu pastikan tiada wanita yang ketinggalan dari mendapat peluang yang setara ini baik di bandar mahupun di luar bandar.

“Saya ingin berkongsi satu survei berkaitan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021 yang dibentangkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini.

“Menurut kajian tersebut, Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia berada pada skor 6.48. Kajian itu mengambil kira aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual yang mana dari sudut fizikal elemen yang dirujuk adalah dari sudut kestabilan ekonomi,” katanya.