BALIK PULAU, 13 Sept – Cawangan BERSATU Sg Burung dan Kuala Jalan Baru telah menyahut seruan Menteri Dalam Negeri (KDN) agar bersama mengadakan kempen untuk penduduk di sini menjadi Sahabat KDN Kita Demi Negara.

Seramai 120 orang hadir mendaftarkan diri menjadi ahli Sahabat KDN pada majlis pelancaran itu semasa Karnival Sambutan Kemerdekaan ke-65 yang dianjurkan bersama Persatuan Kebajikan Pengedaran Makanan Pulau – Architect Planning Delivery-APD di Astaka Titi Teras, baru-baru ini.

Ketua Bahagian BERSATU Balik Pulau, Zolkifly Md Lazim berkata pelancaran kempen ini turut disertai agensi di bawah KDN seperti PDRM (IPD Barat Daya), AADK Pulau Pinang dan ROS Pulau Pinang.

“Kempen menjadi Sahabat KDN Kita Demi Negara itu merupakan harapan kerajaan agar masyarakat sentiasa dapat menjaga keselamatan dan penyalahgunaan dadah dalam negara di samping mereka mendapat manfaat apabila mendaftar diri sebagai Sahabat KDN.

“Kempen akan diteruskan dari semasa ke semasa di setiap cawangan,” katanya.

Kata Zolkifly, penganjuran kempen itu sebagai menyambut seruan Menteri KDN Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam pertemuan bersama menteri berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas baru-baru ini.