KUALA PILAH, 13 Sept – PAS tidak akan berani bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana parti itu telah bersetuju sejak awal melancarkan jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, PAS tidak pernah pun memaklumkan mahu bekerjasama dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepanjang berada dalam PN.

“Kita sudah lancarkan jentera PN, takkanlah PAS mahu kerjasama dengan UMNO lagi. Saya tidak fikir ahli-ahli PAS tidak mengikuti keputusan yang telah dipersetujui bersama parti komponen PN,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata, mengikut tafsirannya, dakwaan kerjasama PAS-UMNO hanyalah setakat hubungan dan persefahaman sesama parti politik dan beliau tidak melihatnya sebagai masalah.

“Terjemahan kerjasama ini boleh dalam pelbagai cara, dan bagi saya, saya yakin apa yang disebut itulah dia. Kalau PAS mahu mengekalkan hubungan dengan UMNO tiada masalah untuk saya.

“Yang saya tahu, untuk ber­depan pilihan raya nanti PAS memang bersama BERSATU dalam PN. Namun, terlalu awal kita menjangkakan semua kemungkinan ini. Tetapi, apabila UMNO sendiri tidak menyambut saranan PAS, ini kena fikir sendirilah,” katanya.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin baru-baru ini dilaporkan mendakwa, wujud rundingan membabitkan pemimpin tertentu dalam UMNO dan PAS mengenai keperluan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15.

Pada 4 September lalu, Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-68 meluluskan usul meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) untuk memastikan situasi satu lawan satu pada PRU15.