KUALA LUMPUR, 13 Sept – Perancangan membuka pusat pemindahan sementara (PPS) di lokasi berisiko yang sebelum ini jarang atau tidak pernah dilanda banjir, antara persiapan dilakukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kementerian berkenaan turut merangka pelan tindakan lain bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan seberapa segera kepada mangsa bencana berkenaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata pelbagai langkah penting termasuk pembaharuan sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak berkaitan.

“PPS yang telah kita kenal pasti dan telah diwartakan adalah 6,010, tidak termasuk nanti jika ada kawasan yang tidak pernah terkena banjir, tetapi terjejas dan ada PPS lain terpaksa dibuka, ini semua kita sedang bersiap sedia.

“Kita juga telah buat simulasi membabitkan agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Bomba dan pihak kesihatan supaya apabila PPS ini dibuka nanti, ia berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di sini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datin Adzliana Hasan, hari ini.

Rina berkata, KPWKM juga telah menurunkan barangan keperluan mangsa banjir yang disimpan di depoh untuk ditempatkan di mini depoh setiap negeri yang terletak berhampiran PPS, sekali gus memudahkan proses pengagihan barangan dilakukan.

“Sebelum ini JKM sediakan makanan dimasak, misalnya secara katering untuk mangsa banjir, jadi kita cadang supaya kawasan yang jauh untuk dimasuki atau kawasan agak kritikal, kita buat penyediaan menggunakan teknologi retort (siap untuk dimakan), tidak basah atau terkena hujan.

“Ini antara pembaharuan yang dibuat selari dengan keadaan semasa,” katanya turut mengalu-alukan penyertaan lebih ramai sukarelawan untuk bersama JKM membantu mangsa yang terjejas.

“Sekarang kita ada lebih 10,000 sukarelawan, jadi sangat dialu-alukan jika ada yang nak bersama dalam menghadapi musim banjir ini,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersiap sedia mengaktifkan 6,010 PPS di seluruh negara yang boleh menempatkan 1,620,855 mangsa.