KOTA KINABALU, 13 Sept – Sabah telah membelanjakan lebih RM2.39 bilion untuk projek pembangunan sehingga 4 September tahun ini di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Hajiji, yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, ini menunjukkan prestasi 45.67 peratus daripada lebih RM5.23 bilion yang diperuntukkan di bawah pelan tersebut untuk 1,118 projek pembangunan yang diluluskan di Sabah.

“Diharapkan Sabah akan mengatasi prestasi nasional 55.44 peratus,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Justeru, Hajiji meminta semua kementerian dan agensi untuk memberi perhatian serta mengambil tindakan lanjut berdasarkan laporan prestasi terperinci dibentangkan pada mesyuarat tersebut bagi memastikan semua projek pembangunan yang dirancang dilaksanakan mengikut jadual.

Selain itu, beliau berkata, 76 daripada 85 badan berkanun negeri dan syarikat berkepentingan kerajaan di negeri ini yang masih belum menubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU), supaya berbuat demikian sebelum Disember ini.

Hajiji turut mengingatkan semua jabatan, pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri yang belum membangunkan dan melaksanakan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) masing-masing, bahawa mereka mempunyai tempoh sehingga Disember tahun depan untuk berbuat demikian.

“Ia adalah tanggungjawab bersama untuk memperkasa dan menyemai intergriti dalam pelaksanaan tugas dalam sistem penyampaian kerajaan bagi mencapai matlamat pembangunan mampan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, sejumlah 22,664 ketua isi rumah di Sabah akan mendapat manfaat daripada Skim Insurans Keluarga Malaysia (SKIM) yang diperkenalkan oleh kerajaan sebagai perlindungan sosial kepada golongan miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam sistem eKasih.

Antara faedah yang akan diperoleh menerusi pelan insurans takaful patuh syariah itu ialah RM10,000 untuk kematian, RM25,000 untuk kematian akibat kemalangan serta RM10,000 untuk keilatan kekal.

Mengenai isu perumahan bagi golongan miskin, Hajiji mahu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (Persekutuan) untuk mempercepat pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin di negeri ini dan memastikan penyelarasan yang lancar antara agensi pelaksana dan kerajaan tempatan.

“Saya mahu pemantauan berkala dan saya akan minta perkembangan terkini,” katanya sambil menambah semua isu yang melambatkan pelaksanaannya perlu diselesaikan segera.