BAGAN SERAI, 13 Sept – Tiada lagi saman akan dikeluarkan kerajaan terhadap mana-mana individu yang tidak mengenakan pelitup muka di tempat awam.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pemakaian pelitup muka di dalam bangunan juga kini adalah atas pilihan individu, seiring pengumuman dan penguatkuasaannya minggu lalu.

“Kerajaan tidak lagi akan keluarkan lagi saman di bawah Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Jadi, kita perlu menjaga diri sendiri dan mengamalkan norma baharu, termasuk memakai pelitup muka jika mempunyai gejala COVID-19 dan mengasingkan diri sendiri, selain membuat laporan dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perbincangan Meja Bulat Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Pemegang Amanah yayasan itu, Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Mohamad.

Dr Noor Azmi berkata, orang ramai bagaimanapun digalakkan memakai pelitup muka di tempat sesak dan pemakaian diwajibkan ketika menaiki pengangkutan awam atau berada di fasiliti kesihatan.

Terdahulu, media melaporkan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu, namun pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau sebaliknya.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata, Malaysia sedang menunggu pengisytiharan untuk memasuki fasa endemik COVID-19 kerana sudah merekodkan jumlah jangkitan kes yang rendah dalam kalangan komuniti ketika ini.

Katanya, pengisytiharan itu bergantung kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang menentukan status fasa endemik sesebuah negara.