ALOR SETAR, 13 Sept – Kedudukan UMNO-BN di negeri ini yang tidak stabil malah berpuak-puak menjadi kelebihan buat Perikatan Nasional (PN) dalam mengatur strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan PN Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata kerajaan Kedah yang dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor komited dalam meneruskan agenda untuk mengangkat martabat ekonomi rakyat dan negeri.

“UMNO-BN di Kedah ini boleh dilihat sudah nazak dan hanya tinggal menunggu ajalnya.

“Dari segi matlamat, UMNO hanya untuk pentingkan kuasa dan PN tidak terjebak dengan kes-kes salah laku atau mahkamah libatkan pimpinan UMNO.

“Kerana rakyat di Kedah sudah sedar, UMNO hanya ada 2 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini jelas isyarat rakyat beri pada PRU14, majoriti telah menolak UMNO-BN,” katanya kepada Penerangan BERSATU selepas mengadakan Mesyuarat Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Kedah, hari ini.

Jelasnya, berdasarkan tinjauan di lapangan, majoriti rakyat di Kedah menolak UMNO.

Katanya, fokus gabungan PN yang terdiri daripada BERSATU, PAS dan Gerakan adalah memastikan kerajaan negeri meneruskan agenda untuk mengangkat martabat ekonomi rakyat.

“Fokus selesaikan seberapa banyak masalah pentadbiran dan ketidakcekapan pentadbiran dahulu ini,” katanya.