KUALA LUMPUR, 14 Sept – “Kalau mak tak kuat dan cekal, mungkin saya tak berada di sini,” imbas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, ketika mengimbas kehidupan dibesarkan ibunya yang juga seorang ibu tunggal.

Katanya, beliau bersama adik-adiknya mengharungi hidup susah selepas ibu bapanya berpisah.

“Saya anak sulung daripada enam beradik, ayah dan ibu berpisah ketika saya berumur 18 tahun dengan adik bongsu waktu itu baru tiga bulan.

“Disebabkan pergolakan rumah tangga (ibu bapa) ketika itu, saya tak dapat tumpu kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), keputusan tidak begitu cemerlang hingga tak layak sambung belajar ke luar negara,” katanya yang berkongsi kisah hidupnya di hadapan 1,500 peserta Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada Selasa.

Bercerita lanjut, Rina berkata, disebabkan perceraian itu, ibunya yang ketika itu tidak bekerja terpaksa mencari rezeki demi menyara mereka sekeluarga.

“Ibu bekerja sebagai pembantu tukang masak…susahnya kami (waktu itu), saya masih ingat makanan paling mewah kami adik beradik adalah tulang ayam. Itu pun diambil daripada tempat kerja ibu, jadi tulang itulah untuk masak sup dan makan beramai-ramai.

“Kemudian ibu berniaga kecil-kecilan buat laksa, mi kari, dengan ketika itu tak ada kenderaan. Jadi segala peralatan berniaga seperti periuk, angkut sambil berjalan kaki, agak jauh dan berat. Itulah yang kami lalui,” katanya.

Beliau berkata, kecekalan ibunya yang menjadikan beliau tabah dalam menghadapi pelbagai cabaran termasuk pelbagai kecaman sepanjang menerajui KPWKM.

“Kalau ibu saya fikirkan kata hinaan orang, mungkin saya tak berada di sini.

“Disebabkan itu saya seru wanita untuk terus bangkit, jangan jadikan kegagalan lalu sebagai penghalang tapi kuatkan semangat untuk berjaya,” katanya.

Lebih mengundang sebak, Rina memperkenal dan memeluk ibunya Taiyibah Rusli, 72, yang turut hadir pada acara itu.

Sementara itu, Rina yang juga Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN), berkata seramai 52,410 wanita dari YKN dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dibantu melalui program Wanita Bangkit@KPWKM.

“Melalui program ini, kita mulakan dengan bantuan kepada peserta sebanyak RM500 sebagai permulaan. Daripada RM500 ini kita nak jadikannya kepada RM5,000.

“Walaupun nilainya pada setengah orang kecil tetapi bagi orang lain ia sangat besar, misalnya kita bantu mak cik menjual pisang goreng…dia dapat beli kuali dan bahan keperluan berniaga, selain itu turut dibekalkan dengan ilmu melalui kursus serta bimbingan,” katanya.

Tambahnya, program itu juga dilihat sebagai platform terbaik untuk wanita untuk membuat persediaan sebelum bergelar usahawan.

Melalui bimbingan yang diberikan oleh mentor yang memiliki kepakaran dalam bidang perniagaan, peserta akan lebih bersedia berdepan jatuh bangun sebagai usahawan dan memperluaskan perniagaan mereka sehingga ke peringkat antarabangsa.