TASEK GELUGOR, 15 Sept – Seramai 14 pelajar menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM200 seorang bagi kemudahan untuk mereka melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Sumbangan tersebut disampaikan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya di Pusat Khidmat Rakyat di sini, hari ini.

Menurut Shabudin, penerima keseluruhan setakat Januari hingga September ialah 420 pelajar dan sebanyak RM84,000 telah diperuntukkan untuk program tersebut.

“Semoga dengan sumbangan tersebut dapat meringankan beban para pelajar seterusnya sebagai pemangkin kecemerlangan untuk menuntut ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pemimpin Prihatin Jiwa Murni Parlimen Tasek Gelugor, hari ini.