GESAAN pemimpin DAP Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Segambut agar Datuk Seri Rina Mohd Harun digugurkan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan digantikan dengan orang lain dianggap sebagai idea lucu malah bersifat cemburu.

Pemimpin DAP itu tidak memahami bahasa dan sindiran orang Melayu apabila memberi teguran sebagai satu nasihat.

Isu tersebut tular apabila satu video yang dimuat naik di akaun media sosialnya baru-baru ini yang memaparkan Rina Harun bersama pegawai KPWKM berada bersama seorang usahawan dan pelakon Rosyam Nor yang dikatakan mempersenda golongan wanita dengan mengeluarkan kata-kata “suka bangun lambat”, “wanita semua lambat”, “aku nak belasah kepala korang”.

Difahamkan, Hannah Yeoh kononnya berasa sedih kerana menteri berkenaan menghina, mempersenda dan memperlekeh kaum wanita negara itu. Malah katanya lagi, boleh menjatuhkan imej sebagai penyandang portfolio menteri berkenaan.

Namun hakikatnya, Hannah Yeoh dilihat terlalu terburu-buru dan cetek ilmu kerana tidak memahami interpretasi serta tujuan promosi program dalam video itu. Kandungan video itu mempromosikan program Wanita Bangkit anjuran KPWKM bagi membantu ekonomi golongan wanita pasca Covid-19 dan dijangka akan memberi manfaat kepada 55 ribu individu yang layak.

Hannah Yeoh juga tidak memahami situasi ketika itu terutama bahasa yang digunakan semasa bersama pelakon dan sudah menjadi kebiasaan apabila melibatkan pelakon, kata-kata lucu dan gurauan seperti itu adalah untuk berupa sindiran, teguran dan nasihat. Tambahan pula, kenyataan menteri itu adalah klip video untuk mempromosikan program kementerian berkenaan dan bukan pada ucapan majlis rasmi.

Hannah Yeoh seharusnya tidak mengambil kesempatan untuk menyerang Rina Harun terutama kerana pernah satu ketika timbul viral kecaman netizen semasa menteri berkenaan membantu gotong royong selepas banjir.

Pemimpin wanita DAP itu mempunyai niat jahat sementelah dia pernah menjawat sebagai timbalan menteri serupa semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersama Wan Azizah Wan Ismail.

Pada waktu memegang jawatan tersebut Hannah Yeoh hanya lebih banyak menumpang populariti Wan Azizah Wan Ismail ketika menerajui KPWKM. Tidak ada program yang dilaksanakan oleh kedua-dua pemimpin itu yang boleh dianggap satu kejayaan bagi membantu memperjuangkan hak-hak wanita tetapi lebih banyak bercakap dimedia untuk populariti semata- mata.

Jika dibandingkan prestasi kedua-dua pemimpin wanita itu, Datuk Seri Rina Harun lebih banyak menonjol dan membuktikan kewibawaan membawa kaum wanita mengharungi cabaran ketika ekonomi yang buruk akibat pendemik Covid-19.

Selaku bekas timbalan menteri KPWKM mengapa Hannah Yeoh tidak membantu memberi idea-idea atau bersama memperkasa dan memperjuangkan golongan wanita bagi menghadapi kos sara diri dan ekonomi yang belum pulih.

Jangan kerana bersifat cemburu dan berasa bimbang lantaran pemimpin wanita BERSATU itu semankin menambat hati rakyat terutama golongan wanita, Hannah Yeoh terikut-ikut budaya tentera siber dan cetek akal menyerang menteri tersebut.

Sebenarnya, ahli Parlimen Segambut itu belum lagi memahami bahasa, budaya dan agama orang-orang Melayu sedangkan dia merupakan seorang warganegara Malaysia.

Penulis adalah Kamarozaman Ahmad, Ketua Penerangan BERSATU Balik PulauIni pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian parti.