KUALA LUMPUR, 15 Sept – Ahli Parlimen DAP Segambut, Hannah Yeoh digesa berhenti menyerang peribadi kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Ketua Penerangan Srikandi BERSATU Malaysia, Mastura Mohamad Darby berkata serangan Hannah kepada Rina hanya semata-mata beliau kecewa kerana tidak lagi berada dalam kerajaan dan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Setelah beberapa bulan kita melihat kejayaan demi kejayaan, program demi program yang diterajui dan dicetuskan oleh Rina untuk golongan wanita Malaysia, terbaru yang diungkap oleh Hannah ialah cara promosi untuk Program Keusahawanan Wanita Bangkit@ KPWKM.

“Kalau kita selalu menonton video di Internet seperti Facebook, Tik Tok dan Instagram serta pelbagai media sosial yang lain, kita akan lihat pelbagai cara promosi dan taktik pemasaran yang digunakan oleh generasi hari ini untuk menarik perhatian orang ramai.

“Salah satunya ialah ‘negative marketing strategy’ atau strategi pemasaran negatif yang amat berjaya digunakan sekarang untuk mencetus emosi negatif seperti marah untuk meningkatkan respons dan tindak balas yang tinggi di kalangan sasaran audien,” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

Tambah Mastura, hasilnya lebih 1,600 usahawan kecil dan wanita yang berminat untuk berniaga telah hadir dalam Program Keusawanan Wanita Bangkit@KPWKM, dua hari lalu.

Katanya, ini bermakna cara promosi yang dicetuskan oleh Datuk Rosyam Nor sebagai duta kempen telah berjaya menarik wanita untuk hadir dalam program tersebut.

“Hannah Yeoh tidak perlu mempolitikkan semua perkara dan mengecil-ngecilkan peranan sesiapa pun dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

“Diberitakan seramai 52,404 wanita telah hadir dalam Program Keusahawanan Wanita Bangkit di seluruh Negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Mastura berkata mereka yang hadir dalam program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM pada 13 Sept lalu majoritinya adalah usahawan wanita dan wanita Melayu dalam kalangan B40 yang mahu bangkit dari kesusahan dan tekanan ekonomi keluarga, pasca COVID-19.

Katanya, majoriti peserta Program Keusahawanan Wanita Bangkit di seluruh Negara adalah wanita Melayu dalam kalangan B40.

“Perkembangan dunia perniagaan kebanyakannya dikembangkan melalui Internet. Kini, keusahawanan dalam talian di Malaysia semakin terkenal dalam kalangan usahawan wanita.

“Inilah yang mendorong ramai wanita dalam kalangan B40 mahu terlibat dalam perniagaan, terutamanya berniaga secara online,” katanya.

Soalnya, adakah Hannah Yeoh cemburu kerana wanita Melayu ramai yang bangkit semula berniaga dan teruja untuk mendapatkan bantuan agar dapat maju dalam perniagaan mereka.

Beliau berkata Hannah tidak perlu mencari salah dan cuba menghentikan kemaraan wanita ini dari terus bangkit.

Sementara itu, Mastura berkata beliau melihat sepanjang tiga tahun Rina menerajui KPWKM telah banyak melaksanakan dan mencetuskan program-program baru yang membuka peluang penyertaan lebih ramai wanita Malaysia.

Katanya, ini selaras dengan aspirasi ‘Prihatin Rakyat’ dan memastikan tidak ada rakyat yang terpinggir dalam mendapat peluang yang disediakan oleh kerajaan.

“Antara kejayaan dan Program untuk Wanita yang dicetuskan oleh Rina selain dari Program keusahawanan Wanita Bangkit untuk wanita B40 terlibat dalam perniagaan, ialah RUU Antigangguan Seksual 2021 yang berjaya diluluskan baru-baru ini setelah 11 tahun gagal dibawa oleh menteri-menteri terdahulu.

“Penubuhan Skuad Wanita Waja untuk usaha-usaha Anti Keganasan terhadap Wanita, Program membenteras Jenayah seksual Kanak-Kanak, Dasar dan Pelan tindakan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan, Bakul Prihatin Negara dengan Penubuhan Skuad Prihatin Negara dan banyak lagi,” katanya.

Mastura juga mempersoalkan apa sumbangan Hannah Yeoh semasa Menjadi Timbalan Menteri Wanita.

Beliau berkata janganlah cemburu dengan kejayaan dan usaha-usaha Rina dan sebaliknya terus berbakti untuk masyarakat.

“Bukan mencari salah dan berusaha menjatuhkan orang lain,” katanya.

Mastura juga menyeru kepada semua wanita agar tidak mudah terpengaruh dengan politik murahan pembangkang untuk mencetus kebencian.

Sebaliknya, beliau berkata kaum wanita perlu melihat setiap usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dari kacamata yang lebih luas.

“Kita harus bersatu-padu untuk mengelakkan dari dikuasai oleh anasir yang boleh menggugat kelicinan inisiatif-inisiatif yang dijalankan untuk membantu rakyat.

“Marilah sama-sama kita membina Keluarga Malaysia yang sejahtera,” katanya.