PUTRAJAYA, 15 Sept – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak pernah memilih kasih, bangsa atau pangkat dalam memberikan rawatan kepada rakyat yang memerlukan.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, orang ramai disaran tidak membuat spekulasi terhadap KKM berhubung dakwaan memberi layanan istimewa kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menerima rawatan di hospital.

Katanya, KKM bertanggungjawab memberi rawatan kesihatan secara adil kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira status pesakit terbabit.

“Kita juga tidak pernah mempersoalkan kedudukan atau pangkat pesakit, sebaliknya semua akan diberikan layanan sama dan berharap rakyat tidak melemparkan kenyataan tidak benar kepada KKM,” katanya selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 peringkat KKM di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Zainal Alhakab Seman dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli.

Noor Azmi berkata demikian bagi menjawab komen netizen di media sosial menyatakan KKM memberi layanan istimewa kepada Najib.

Pada Isnin lalu, Najib dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan darah tinggi selepas menghadiri perbicaraan di Mahkamah Kuala Lumpur.

Pada hari sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi status Twitter rasminya mengarahkan KKM memberi rawatan kesihatan terbaik kepada bekas Perdana Menteri itu berikutan keadaan kesihatan yang dialaminya.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan Najib dan mengarahkan KKM supaya memberikan rawatan terbaik diperlukan serta mendoakan semoga Najib diberikan kesembuhan.

Pada Selasa lalu, media melaporkan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Najib akan kekal menerima rawatan di hospital kerajaan iaitu HKL seperti termaktub dalam prosedur banduan yang ditetapkan selama ini.

Beliau berkata, Najib berada dalam keadaan stabil dan menafikan akan dibawa ke Institusi Jantung Negara (IJN) seperti dilaporkan sebelum ini kerana prosedur banduan adalah dirujuk ke hospital kerajaan.