PUTRAJAYA, 15 Sept – Fasa Pertama Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw di sekolah rendah Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara yang bermula hari ini bakal mencungkil bakat seramai 1,200 murid dalam sukan berkenaan.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata ia adalah sebahagian daripada usaha KPM untuk memberi ruang dan peluang seluas-luasnya bagi murid sekolah rendah menonjolkan kebolehan dan bakat dalam pelbagai aspek termasuk sukan.

Beliau berkata, melalui program berkenaan akan membabitkan sebanyak 150 sekolah rendah dengan 10 mentor akan bergerak dari sekolah ke sekolah.

Katanya, murid yang berpotensi akan dibawa ke pusat latihan daerah, sekolah sukan negeri atau sekolah sukan Malaysia.

“Ini adalah satu usaha menyeluruh untuk kita lihat bagaimana KPM dapat mengoptimum potensi murid ini.

“Apa yang paling penting kita mahu setiap murid datang ke sekolah merasakan bahawa mereka mempunyai kekuatan dan kelebihan.

“Sekiranya mereka mungkin terkebelakang dalam bidang akademik mereka tahu, mereka ada kelebihan dan kekuatan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw KPM di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 5 (1), di sini, hari ini.

KPM menjangkakan fasa pertama program berkenaan akan berlangsung sehingga November ini, dan kementerian itu akan menilai model yang terbaik dan sesuai.

Radzi berkata, sekiranya ada penambahbaikan perlu dilakukan, ia akan diselesaikan sebelum bergerak ke fasa seterusnya.

Beliau berkata, KPM juga mahu pembabitan semua pihak dalam memastikan bidang sukan ini dapat diketengahkan.

Pada masa sama, katanya, program berkenaan diharap dapat memupuk perasaan bahawa mereka adalah sebahagian daripada sekolah.

Radzi berkata, pemilihan murid untuk menyertai program berkenaan menggunakan pendekatan sains sukan dan keupayaan mereka akan diukur sebelum mereka dihantar menjalani latihan ke fasiliti latihan sedia ada.

Beliau berkata, secara umumnya tiada had bilangan peserta namun ia juga bergantung had kekosongan di fasiliti latihan.

Bergerak ke hadapan, Radzi berkata, KPM turut mengadakan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta persatuan sukan untuk membolehkan bakat yang dicungkil di sekolah ini dapat terus dilatih sehingga ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, apa saja program sukan di peringkat kebangsaan juga bermula di sekolah lantas KPM berasa terpanggil untuk berperanan dalam mencungkil bakat murid.