KUALA LUMPUR, 15 Sept – Pimpinan Tertinggi Srikandi BERSATU Malaysia telah menyampaikan usul sayap itu untuk Bajet 2023 kepada Datuk Seri Rina Mohd Harun sebagai pertimbangan dan cadangan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ketua Penerangan Srikandi BERSATU Malaysia, Mastura Mohamad Darby berkata sayap itu telah membawa cadangan bagi membina kerangka Dasar Pembangunan Wanita dalam Ekonomi Prihatin sebagai sebahagian dari landskap ekonomi baru menuju Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Sehingga 13 Sept lalu kami telah menerima beberapa usul yang boleh dirangkumkan kepada 3 kategori iaitu kepimpinan dan politik; pembangunan sosio-ekonomi dan keselamatan dan sosial.

“Srikandi tidak akan membincangkan tentang masalah parti tetapi akan membuka minda dan memberi peluang ahli untuk berbahas kepada ruang lingkup yang lebih luas dalam konteks pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

Terdahulu, usul tersebut diserahkan oleh Naib Ketua Srikandi BERSATU Malaysia Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mastura berkata Srikandi BERSATU mahu berperanan lebih besar untuk memegang tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat yang prihatin rakyat khususnya wanita.

Beliau berkata sesuai dengan peranan Ketua Srikandi BERSATU Malaysia sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Srikandi akan menjadi mata dan telinga untuk membawa suara rakyat serta menerajui isu-isu wanita dan menyampaikannya melalui usul-usul ini kepada kementerian agar dapat diberi perhatian untuk tindakan seterusnya.

“Antara lain usul kepimpinan dan politik akan membincangkan tentang wanita dalam kepimpinan dan politik Negara.

“Selain itu, pembangunan kapasiti untuk pemimpin wanita masa depan, kepimpinan dan peranan wanita dalam NGO serta calon Wanita dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) turut dicadangkan,” katanya.

Tambahnya, dalam kategori keselamatan dan sosial, Srikandi cawangan juga ada yang telah membawa usul Anti Ganggual Seksual, kewarganegaraan pasangan wanita Malaysia serta lain-lain.

Beliau berkata untuk kategori pembangunan sosio-ekonomi, Srikandi BERSATU membawa isu pembangunan ekonomi Keluarga Malaysia pasca COVID-19 dalam ‘Care-Economy’.

“Kesemua usul-usul akan dibincangkan semasa persidangan sayap Srikandi bahagian dan dibentangkan semasa Persidangan Agung Tahunan Srikandi BERSATU Malaysia nanti,” katanya.