BALIK PULAU, 16 Sept – Balik Pulau mempunyai potensi menjadi hub pelancong jika dimanfaatkan melalui eko-pelancongan.

ADUN Teluk Bahang yang juga Ketua Bahagian BERSATU Balik Pulau, Zolkifly Md Lazim berkata usaha ini bagi meningkatkan ekonomi rakyat Balik Pulau dan taraf hidup penduduk tempatan melalui kegiatan ekonomi yang ditawarkan.

“Antara KPI BERSATU Bahagian Balik Pulau adalah meningkatkan ekonomi rakyat Balik Pulau adalah melalui eko pelancongan.

“Usaha-usaha ini sebenarnya telah diadakan sebelum ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) melalui Menteri YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang hadir di tempat yang sama sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Zolkifly hadir merasmikan Pameran Kraf dan Seni Balik Pulau di Incubator Kraftangan Kg Sungai Rusa, hari ini.

Pameran itu bertemakan perjuangan dan persembahan seni dan kraf pelbagai kaum yang mewarnai berlatarbelakangkan masyarakat majmuk tempatan.

Seramai 37 penggiat seni bersama lebih kurang 100 peminat seni hadir ke program ini.