BUKIT GANTANG, 16 Sept – Kilang memproses isi ikan pertama milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang dibina di Kuala Besut, Terengganu akan mula beroperasi tahun hadapan.

Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, apabila siap kelak kemudahan tersebut dijangka mampu memproses kira-kira 10 tan isi ikan sehari dengan kapasiti keseluruhan stor penyimpanan sejuk beku berjumlah 500 tan metrik.

Kilang itu penting bagi memenuhi potensi produk berasaskan isi ikan dalam negara, selain mengelak pembaziran terutama ikan bersaiz kecil.

“Tidak semua ikan kita boleh jual ikan kecil tak boleh jual orang tidak makan. Ikan kecil digunakan untuk menjadi isi ikan.

“Isi ikan digunakan untuk industri keropok yang besar. 10 tan ikan kita akan dapat isi 5 tan bermakna kalau kilang punya kapasiti satu hari 10 tan kita mampu beli satu hari 20 tan ikan 20,000 kilo ikan mana ikan yang orang tak makan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Hari Malaysia dan penyerahan bantuan tong ikan berinsulasi kepada nelayan bersempena sambutan Merdeka Parlimen Bukit Gantang Tahun 2022 di sini.

Menurut beliau, pihaknya juga sedang mengenal pasti tapak sesuai untuk membina satu lagi kilang sama di Trong, Perak dengan anggaran kos bernilai RM6 juta.