KUALA LUMPUR, 16 Sept – Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kementerian itu dijangka melancarkan Pelan Induk Industri Sukan tahun ini.

Beliau berkata pelan itu telah disiapkan dengan penuh teliti oleh Sekretariat Industri Sukan dan pihaknya kini di peringkat mencari waktu yang sesuai untuk melancarkannya.

“Pada masa yang sama, kita juga akan menganjurkan Ekspo Industri Sukan bagi membuka mata dan minda rakyat tentang peluang serta ruang yang ada dalam industri sukan yang begitu besar.

“Matlamat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah untuk meningkatkan kesedaran bahawa industri sukan boleh mendatangkan pulangan yang begitu besar bukan hanya kepada atlet dan pemain tetapi juga orang ramai yang boleh melibatkan diri dalam industri berkenaan,” katanya selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam Khamis.

Terdahulu, ketika bersiaran dalam program itu, Ahmad Faizal berkata pihaknya menyedari kekecewaan beberapa persatuan sukan susulan pengguguran beberapa acara yang dipertanding pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang sedang berlangsung.

“Saya juga ingin memohon maaf bagi pihak KBS dan Majlis Sukan Negara atas kelemahan yang ada iaitu kita tidak dapat buat promosi besar-besaran untuk Sukma namun saya yakin mulai sekarang, akan ada lebih banyak hebahan dan saya percaya orang ramai akan ikuti acara yang diadakan,” katanya.

Mengulas isu tunggakan gaji yang menghantui kerancakan liga bola sepak negara, beliau menyarankan agar semua pihak sentiasa realistik dan berpijak di bumi nyata ketika mempersiap pasukan masing-masing.