TEMERLOH, 16 Sept – Perikatan Nasional (PN) Negeri Pahang bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata perundingan kerusi PRU15 di kalangan parti-parti komponen PN Pahang kini telah berada di tahap akhir dan perbincangan dijangka selesai dalam tempoh masa terdekat.

“Ketua-ketua Badan Perhubungan Kawasan Parlimen (BPKP) telah dilantik dan setiap BPKP telah pun menubuhkan jawatankuasa Perikatan Nasional peringkat parlimen masing-masing serta siap siaga dalam menghadapi cabaran PRU15.

“Mesyuarat juga telah bersetuju untuk melancarkan Perikatan Nasional Pahang dan jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional Negeri Pahang pada 10 Oktober 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelancaran itu akan disempurnakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan tertinggi PN.

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Induk Perikatan Nasional Negeri Pahang bermesyuarat di Hotel Seri Malaysia Temerloh, di sini hari ini dan ianya telah diikuti dengan Taklimat Persediaan PRU yang telah melibatkan semua jawatankuasa-jawatankuasa Badan Perhubungan Kawasan Parlimen PN Negeri Pahang.