KOTA KINABALU, 17 Sept – Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (BN) komited meneruskan usaha menuntut hak negeri ini seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan semua tuntutan Sabah dipenuhi dan dilaksanakan.

“Kita percaya bahawa isu berhubung hak dan kepentingan negeri yang melingkari hubungan kerjasama di antara kerajaan negeri dan Persekutuan selama ini akan dapat ditangani melalui perundingan dan muafakat atas semangat Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah di Padang Merdeka, di sini, malam tadi yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Hajiji berkata, perkara itu terus dibangkitkan pada Mesyuarat Majlis Khas MA63 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 September lalu.

“Saya telah mengulangi bahawa Sabah akan tanpa henti terus menuntut 40 peratus pulangan daripada hasil bersih negeri ini yang dikutip Kerajaan Persekutuan, seperti yang ditetapkan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Hajiji berkata, masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan dalam konteks pembangunan di bawah semangat MA63 dan Sabah akan terus menuntut apa yang patut dituntut.

“Ini supaya kita juga akan menikmati hasil pembangunan sebagai rakan kongsi kepada negara tercinta ini. Kita ingin melihat erti sebenar Keluarga Malaysia diterjemahkan menerusi konteks kesaksamaan dalam usaha membangunkan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Ketua Menteri memberi jaminan, kerajaan negeri akan terus melangkah ke hadapan untuk membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan di negeri ini.

Menurutnya, agenda pembangunan negeri, khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kini berada di landasan yang betul dan mula menampakkan hasil.

Sabah merekodkan pelaburan asing RM9.9 bilion mengikut laporan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, menjadikannya penerima pelaburan asing ketiga terbesar di Malaysia.

Mengenai Hari Malaysia, Hajiji berkata, walaupun sambutan peringkat kebangsaan tahun ini diadakan di Melaka, Sabah tidak terkecuali meraikannya secara sederhana, tetapi meriah sebagai sebuah masyarakat majmuk, makmur dan sejahtera.

Beliau turut menyatakan, pendekatan Keluarga Malaysia amat relevan di Sabah dan Sarawak berikutan kehidupan rakyat di kedua-dua negeri itu berasaskan rasa saling menghormati dan mengiktiraf kepelbagaian serta perbezaan kaum, agama dan budaya.

“Marilah kita menjiwai Hari Malaysia dengan penuh semangat patriotik agar keharmonian dan keamanan sentiasa terpelihara di bumi tercinta kita dan bagi melihat Sabah membangun lebih maju dan berjaya, aman dan makmur dalam Malaysia,” katanya.