KUALA LUMPUR, 18 Sept – Jumlah Pelindung Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu ditambah dengan segera bagi menangani kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak, memandangkan jumlahnya ketika ini tidak mencukupi.

Meteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, nisbah ketika ini adalah seorang ‘Pelindung’ bagi setiap 50 hingga 100 kanak-kanak, sedangkan sasarannya ialah Pelindung bagi 30 hingga 35 kanak-kanak di seluruh negara.

Beliau berkata peranan Pelindung Kanak-Kanak ini dalam menyelamatkan dan menjamin kesejahteraan kanak-kanak yang menjadi mangsa dera perlu diperkasa, memandangkan kes-kes penderaan dan pengabaian kini kelihatan semakin bertambah kompleks.

Menurutnya Pelindung Kanak-kanak juga berperanan menyediakan laporan sosial untuk digunakan mahkamah dalam menentukan penempatan dan individu yang sesuai untuk menjaga kanak-kanak yang menjadi mangsa dera.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dua kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa dera ibu saudara dan bapa saudara mereka di Hospital Ampang dekat sini hari ini.

Dua kanak-kanak yang berusia lapan dan enam tahun itu dilaporkan telah diselamatkan pihak Bomba apabila salah seorang daripada mereka cuba untuk terjun dari sebuah kondominum empat tingkat dalam usaha melarikan diri.

Rina berkata keadaan kedua-dua kanak-kanak itu kini semakin bertambah baik dan mereka kelihatan lebih ceria.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak yang membuat aduan mengenai cubaan kanak-kanak itu untuk terjun dari kondominium itu yang mengakibatkan kes penderaan itu terbongkar.

Katanya, keprihatinan dalam komuniti terhadap kesejahteraan masing-masing seperti yang ditunjukkan oleh pengadu itu perlu dicontohi oleh semua dalam usaha menangani kes-kes sedemikian.

“Ini adalah peranan semua lapisan masyarakat untuk mengambil berat antara satu sama lain sebagai satu Keluarga Malaysia,” katanya.