IPOH, 18 Sept – Tiada sebarang perbincangan antara BERSATU dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden BERSATU Malaysia, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata perkara itu tidak perlu dipersoalkan kerana ketika ini semua pihak sedia maklum PRU15 semakin hampir.

“Setakat ini tidak ada perbincangan (dengan Perdana Menteri berhubung pembubaran Parlimen). Namun, tak perlu tanya Perdana Menteri, tak perlu juga tanya saya kerana semua orang tahu yang pilihan raya semakin hampir.

“Bagi Perikatan Nasional (PN), kami sudah bersedia dan kami menjalinkan hubungan yang baik dalam kalangan parti komponen kami untuk menghadapi PRU15,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian kepada pemberita pada program Fiesta Sukan Jom Kome 2022 di Kampung Orang Asli Chadak, Ulu Kinta, di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Ismail Sabri berkata tarikh pembubaran Parlimen akan diumumkan tidak lama lagi, untuk memberi laluan kepada PRU15 dengan berkata perkara itu akan dibawa kepada meja perbincangan bersama lima kepemimpinan tertinggi atau ‘Top Five’ dalam UMNO.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang enggan mengulas lanjut ketika ditanya keinginan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO) dari Sabah yang melihat kemungkinan bertanding di DUN Chenderiang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun, berkata ketika ini beliau mahu memberi fokus perkhidmatan kepada rakyat sama ada di DUN Chenderiang mahupun di Parlimen Tambun.

“Sekarang ini saya adalah ADUN Chenderiang dan Ahli Parlimen Tambun. (Jadi) kita fokus untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat terlebih dahulu, cerita pilihan raya ini cerita kemudian,” katanya.